Kapten teman baharu Tasha Shilla?

Pelakon kontroversi, Tasha Shilla mengakui sedang berkawan dengan seorang lelaki berpangkat kapten, namun menafikan bercinta dengan jejaka itu. Mengambil iktibar daripada perhubungan lalu, pelakon berusia 29 tahun itu enggan terlalu terbuka dalam berkongsi kisah peribadi mahupun percintaan kepada umum di laman sosial. Menganggap, keterbukaannya berkongsi kisah percintaan dengan bekas kekasih, Hans Wong mengajarnya untuk menyimpan sebahagian kisah peribadi daripada pengetahuan umum supaya kisah lalu tidak lagi berulang. “Kami cuma berkawan dan tiada ikatan cinta. Saya tidak mahu lagi berkongsi mengenai soal hati dan biarlah kisah cinta saya dengan Hans dulu adalah yang terakhir diketahui umum. “Selagi tiada ikatan yang sah, saya tidak akan bercerita kerana tidak mahu kisah lalu berulang kembali. Kalau saya bertunang atau akan berkahwin, saya akan jemput dan maklumkan kepada semua, bukan lagi menjaja kisah cinta. “Buat masa sekarang saya belum ada teman istimewa kerana mahu menumpukan kepada karier seni sebab perjalanan dunia seni saya sekarang ini agak perlahan,” katanya yang ditemui di majlis sambutan ulang tahunnya ke-29 bersama kelab peminat, Tasha Shilla Team di sini. Mahu mengelak daripada terpalit lagi dengan kontroversi dan gosip liar, Tasha menjadikan tahun 2016 sebagai semangat baharu buat dirinya bagi menaikkan kembali namanya. Menyedari hakikat bakatnya semakin dipandang sepi, bukan kerana tidak menerima sebarang tawaran, sebaliknya ingin melarikan diri daripada kontroversi yang pernah dikaitkan dengannya tahun lalu. “Memang kerjaya seni saya agak perlahan dan jarang dilihat di TV kerana saya mengambil langkah berdiam diri bagi meredakan kontroversi yang berlaku. “Sekarang adalah masa terbaik untuk saya bangkit semula dan tidak mahu lagi dikaitkan dengan sebarang kontroversi mahupun gosip liar. Tumpuan saya sekarang mahu menumpukan kepada membina kembali karier seni saya,” katanya yang akan muncul dengan telefilem berjudul, Parut dan Mek kelantan.

loading...

Add Comment