Ola Bola ke Taipei

BAHARU sehari ditayangkan, khabar gembira diterima kru produksi filem Ola Bola apabila filem itu ditayangkan di Taipei Golden Horse Fantastic Film Festival (GHFFF) Taiwan bermula 8 hingga 17 April ini.

Pengarah Ola Bola, Chiu Keng Guan berkata, dia bangga filem arahannya mendapat perhatian luar dan sekali gus terpilih ditayangkan di festival filem di Taiwan.

“Sebelum ini, Ola Bola melalui proses post produksi di Taipei dan mendapat banyak komen positif daripada pembikin filem Taiwan.

“Baru-baru ini GHFFF hubungi saya untuk mempelawa filem ini untuk ditayangkan di sana. Beberapa hari kemudian, mereka hantar jemputan rasmi kepada saya.

“Mereka mengakui kagum dengan jalan cerita dan sinematografi filem ini,” katanya kepada Zass.

Ola Bola dibintangi JC Chee, Luqman Hafidz, Saran Kumar Manokaran, Marianne Tan, Katrina Ho, Bront Palarae dan Frankie Lee.

Filem ini diilhamkan dari peristiwa kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia dalam usaha menyertai Sukan Olimpik Moscow 1980.

Bukan sekadar filem yang mengetengahkan sukan bola sepak semata-mata, ia mengangkat nilai universal dan semangat bangsa.

Dengan berlatar belakangkan sinematografi 80-an, filem ini turut memaparkan cabaran pasukan bola sepak kebangsaan serta semangat patriotisme rakyat Malaysia yang cintakan tanah air menerusi sokongan mereka terhadap negara.

Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan berkata, pihaknya berharap filem yang penuh dengan elemen aksi, emosi dan inspirasi ini akan mencipta fenomena tersendiri pada tahun  ini.

“Ola Bola mempunyai jalan cerita yang begitu unik di mana ia menyaksikan semangat dan sokongan berbilang bangsa yang terdapat di Malaysia.

“Menerusi filem ini, diharap penonton dapat melihat keistimewaan yang ada pada kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Ola Bola membawa penonton dari pelbagai bangsa untuk sama-sama merasai semangat bersatu hati dan muhibah. Kisah yang penuh iktibar ini akan bawa penonton melihat semangat, keunikan dan kekuatan yang terdapat dalam kepelbagaian bangsa di Malaysia.

loading...

Add Comment