Serik Dengan Cinta tiada kaitan dengan saya – Maya Karin

Pelakon dan penyanyi, Maya Karin, menafikan lagu terbaharu dendangannya bersama Juzzthin, Serik Dengan Cinta, ada kena mengena dengan dirinya.

Lagu terbabit dimuatkan dalam album sulung artis rap berkenaan, Class Is In Session, iaitu produk hasil kerjasama antara Warner Music dan Mixology Music.

Ditemui pada majlis pelancaran album terbabit, baru-baru ini, Maya, 36, berkata jika diteliti pada liriknya, sesiapa saja boleh dikaitkan dengan lagu itu berdasarkan pengalaman cinta lalu.

“Lagu itu memang hadir dengan lirik sebegitu. Sebagai penyanyi, saya sekadar menunaikan amanah untuk menyanyikannya.

“Di studio, saya hanya mengambil masa sejam setengah untuk merakamkannya. Saya juga cukup berbesar hati apabila ditampilkan sebagai undangan istimewa menerusi lagu dendangan Juzzthin ini,” katanya.

Maya pernah melalui episod kegagalan rumah tangga apabila disahkan bercerai dengan bekas suami, Muhammad Ali Abdullah, pada Julai 2010. Perceraian itu berlaku kira-kira dua tahun selepas mereka berkahwin.

Mengakui lebih matang, Maya juga berkata, beliau kini dapat membezakan antara cinta dan sayang.

“Hendak kata saya serik dengan cinta, mungkin juga. Kalau dulu, ketika bercinta pada fasa remaja, kita tidak dapat membezakan antara cinta dan sayang. Saya bercinta dengan bekas suami pun ketika berusia 21 tahun.

“Indahnya masa bercinta dulu, macam dunia kita yang punya saja. Tetapi, selepas melepasi fasa 20-an, saya sedar dan dapat lihat cinta itu datang dan pergi dengan cepat. Pada akhirnya, sayang itu juga yang kekal.

“Dulu, sewaktu saat indah bercinta pada usia remaja, rindu dengan kekasih itu tidak kira masa. Sayang kepadanya mahu dijaja dan kalau boleh setiap hari ingin berinteraksi. Begitupun apabila kita semakin dewasa, soal kesibukan masing-masing yang wujud antara pasangan kekasih mula difahami. Yang jelas, setiap apa yang terjadi, hidup mesti diteruskan,” katanya yang mengaku masih bersendirian ketika ini.

loading...

Add Comment