Di Belakang Tabir….SRK Hampir Jatuh Gaung Dalam Dilwale



Di Belakang Tabir….SRK Hampir Jatuh Gaung Dalam Dilwale

Dilwale dianggap gagal di India namun di negara luar filem itu berjaya membuat kutipan tiket yang menggalakkan.
Filem arahan Rohit Shetty itu berkisar mengenai hidup Raj – yang menyimpan rahsia hitam sebagai Kali – bersama adiknya Veer yang jatuh cinta kepada Ishita.
Raj (dan Kali) dilakonkan oleh Shah Rukh Khan dan watak Veer dibawa Varun Dhawan. Ishita pula dilakii Kriti Sanon.
Dilwale kemudian dilengkapkan dengan kemunculan Kajol membawa watak Meera, iaitu kakak Ishita.
Di sebalik warna-warni Dilwale ada beberapa kejadian belakang tabir yang menarik untuk diketahui.
Wartawan radio, televisyen dan cetak Rani Singh menemu ramah sebahagian daripada pelakon Dilwale.
Menurut Kajol, boleh dikatakan Shah Rukh terhutang nyawa kepadanya ketika penggambaran babak berhampiran air terjun.
Katanya, Shah Rukh sedang berlutut (salah satu lututnya tidak begitu baik kerana pernah cedera melakukan aksi lagak ngeri pada 2014) dan sepatutnya mendepangkan tangan.
“Ia adalah aksi yang sangat sinonim dengan Shah Rukh,” katanya.
Kali pertama 22 tahun lalu
Bagaimanapun ketika mendepangkan tangan itu Shah Rukh gagal mengimbangi badannya dan hampir saja terjatuh ke gaung.
Nasib baik Kajol sempat menariknya.
“Kami sangat cemas, penggambaran belum tamat dan kamu jangan jatuh!” katanya.
Bagaimanapun Kajol mengakui pelakon semuanya berasa selesa beraksi bersama Shah Rukh.
Kajol juga mengakui Shah Rukh adalah salah seorang pelakon yang sangat digemarinya.
Berpasangan beberapa kali, Kajol mengakui bekerjasama dengan Shah Rukh amat menyeronokkan.
Bagaimana pula dengan keserasian Kajol – Shah Rukh sejak mereka dipasangkan sebagai kekasih di layar perak 22 tahun lalu?
“Saya tak berubah. Secara jujur tak ada apa-apa perubahan asas berlaku pada saya.
“Shah Rukh pula memiliki kesungguhan luar biasa. Dia ibarat enjin yang perlukan sedikit masa untuk digerakkan pada waktu pagi dan apabila sudah ‘panas’ ia boleh berfungsi sehingga tengah malam, atau jam 5 pagi.
“Melihat semangat, tenaga dan kesungguhan dia melakukan yang terbaik adalah sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Kali pertama pasangan itu disatukan di layar lebar adalah pada 1993 melalui filem Baazigar.
Darah lain macam
Sejak itu Kajol dan Shah Rukh berlakon bersama sekurang-kurangnya 10 kali. Antara yang paling popular ialah Kuch Kuch Hota Hai (1998) dan Kabhi Khushi Kahbi Gham (2001).
Sebelum Dilwale, filem terakhir mempertemukan mereka ialah My Name Is Khan pada 2010.
Bagi Varun, dia berasa sangat bangga kerana dapat berlakon dengan ramai pelakon terkenal, termasuk Kajol, Shah Rukh, Johnny Lever dan Sanja Mishra.
“Ia pengalaman sukar dipercayai. Saya baru terbabit dalam filem sejak tiga tahun lalu dan diberi peluang berlakon bersama mereka adalah pengalaman sangat mahal,” katanya.
Seperti kebanyakan orang, katanya, dia membesar bersama filem lakonan Shah Rukh.
Bagi Varun Shah Rukh adalah seorang wira sangat hebat apabila diserang musuh kerana lakonannya begitu mantap dan meyakinkan.
“Satu hari saya bertanya kepada Shah Rukh: Tuan, mengapa darah pada badan anda nampak begitu asli berbanding saya?
“Kemudian baru saya sedar, darah pada badan Shah Rukh itu adalah darah jenis istimewa dan berbeza daripada saya,” katanya.
Menjawab kenyataan itu Shah Rukh memberitahu ‘darah’ yang digunakan sedikit lebih pekat berbanding orang lain.
“Disebabkan saya lebih banyak dipukul dan lebih awal kena belasah di kolej, saya belajar lebih awal,” katanya bergurau.




loading...

Add Comment