Jehan-Julie tiada banyak masa bersama

Sibuk dengan kerjaya masing-masing, pelakon dan penerbit, Jehan Miskin, 37, menganggap perkahwinannya bersama isteri tercinta, Julie Camelia Rhee, 32, sangat unik. Apa tidaknya, sejak mendirikan mahligai hampir tiga tahun lalu, Jehan mengaku kesibukan bekerja menjadikan dirinya dan Julie sentiasa mencari peluang meluangkan masa berkualiti bersama. Bagi Jehan, alam perkahwinan memberi perspektif baharu buat dirinya. “Mungkin kerana saya mempunyai persepsi yang berbeza mengenai perkahwinan. Sukar untuk saya ungkapkan keseronokan hidup berumahtangga. Tiada apa yang ingin saya rungutkan. “Saya dan isteri bebas melakukan aktiviti riadah kami. Malah, ketika ini, isteri saya berada di India bagi menjalani aktiviti yoga selepas selesai tugasannya di sana. “Saya pula menggunakan masa terluang menunggang motosikal hingga ke China. Mungkin tidak ramai tahu minat saya menunggang motosikal,” katanya kepada BH Online. Mengulas mengenai karier seni, bintang filem Apokalips X itu mengaku tidak ada jawapan bila dia akan kembali aktif. Hakikatnya, Jehan lebih selesa aktif di belakang tabir dengan menghasilkan produk sendiri. Dia juga memilih karya jika mahu kembali beraksi di layar perak. “Saya selesa dengan tugas di belakang tabir sebagai penerbit dan pengarah. “Saya tidak ralat biarpun ada antara produk yang dihasilkan syarikat saya dipuji. Tapi hakikatnya, orang tidak tahu ia adalah karya saya,” katanya.

loading...

Add Comment