Sherry kagum bakat Izreen Azminda, Rita Rudaini

Apabila pelakon popular, Sherry Al Hadad, Izreen Azminda dan Rita Rudaini berkongsi set penggambaran, mungkin ramai dapat mengagak betapa suasana menjadi hiruk-pikuk dengan gelagat mereka. Itulah yang dikongsi Sherry apabila dia, Izreen dan Rita bekerja dalam produksi drama komedi, Ahli Mesyuarat Tingkap yang berkisar kisah tiga sahabat berebut seorang jejaka. Watak lelaki itu dilakonkan Azrel Ismail yang dikatakan memiliki wajah seiras Remy Ishak. “Ini kali pertama kami bertiga digandingkan sebagai teraju utama. Gamat lokasi penggambaran apabila kami disatukan menjadi sahabat baik. “Bakat lakonan yang dimiliki Rita dan Izreen tidak dapat disangkal lagi. “Kami cukup seronok menghabiskan masa bersama bergurau senda menikmati setiap detik, sehingga tidak rasa seperti bekerja,” katanya kepada BH Online. Sherry berkata, drama komedi 20 episod arahan Jinggo itu memaparkan konflik berbeza bagi setiap episod. “Tambah menarik, pada akhir cerita, pengajaran diselitkan buat penonton,” katanya. Drama bersiri yang bakal disiarkan slot Iris di TV3 itu berkisar tiga teman baik yang masih bujang. Mereka berkawan sejak di bangku sekolah dan memiliki latar belakang kerjaya berbeza.

loading...

Add Comment