Tunggu lampu hijau ayah

Hubungan mesra antara pelakon cantik Emma Maembong dengan Kamal Adli bukan lagi rahsia.
Bahkan, Kamal sering hadir memberikan sokongan terhadap program membabitkan kekasihnya itu termasuk majlis ulang tahun ketiga kelab peminat Emma iaitu Emavengers (EV) baru-baru ini.
Kehadiran Kamal bersama adik Emma, Ahmad menjadi bukti bahawa hubungan pasangan ini serius.
Bagaimanapun, sukar untuk mendapatkan kenyataan mengenai perancangan perkahwinan daripada mulut mereka kerana Emma, 24, perlu mendapatkan restu ayahnya, Ismail Embong terlebih dahulu.
“Saya perlu mendapatkan lampu hijau daripada ayah. Sekiranya dia nampak anaknya sudah bersedia, dia pasti benarkan. Di mata ayah sekarang, saya ibarat kanak-kanak berusia 11 tahun.
“Ayah seakan-akan belum sedia melepaskan saya dan sebagai anak saya kenalah akur. Kamal pula seorang pemuda yang baik kerana sangat menghormati ayah. Dia sanggup menunggu saya,” katanya.
Menurut Emma lagi, dia sangat menyayangi dan menghormati bapanya, malah tidak sanggup melakukan perkara yang menyakiti hati ayahnya.
Seronok dihargai peminat
Semakin hari, kerjaya seni Emma terus mekar. Dia juga beruntung kerana kelab peminatnya, Emavengers sering memberikan sokongan padu terhadap kariernya.
“Saya berterima kasih kepada EV kerana setia di belakang saya. Justeru, saya sentiasa menyokong apa saja program anjuran mereka termasuk majlis ini.
“Ada kejutan apabila mereka menjemput rakan baik saya tanpa pengetahuan saya. Ia satu penghargaan. Paling menarik, EV bermula daripada kosong kerana kebanyakan anggotanya tiada asas dalam penganjuran acara.
“Bagaimanapun, demi saya, mereka jadi pandai mencari lokasi program, penaja dan pelbagai lagi kelengkapan yang diperlukan. Mereka langsung tak minta bantuan saya sedangkan saya tak kisah jika mereka minta tolong.
“Lebih terharu, persembahan daripada artis Fimie Don bersama kumpulannya yang menyanyikan lagu Emma Maembong benar-benar mencuit perasaan saya. Ia memang sukar dilupakan,” katanya.
Pada majlis itu juga, pelbagai permainan menarik turut diadakan dan semua ahli EV termasuk Emma mengambil bahagian.

loading...

Add Comment