The Finest Hours imbau kenangan

PADA 64 tahun lalu, tarikh 19 Februari, tercatat sejarah melibatkan usaha menyelamat kapal tangki yang terbelah dua selepas dipukul ombak oleh United States Coast Guard.

Dek kejadian itu juga memberi inspirasi kepada Michael J Tougias dan Casey Sherman untuk menulis buku The Finest Hours: The True Story of The U.S. Coast Guard’s Most Daring Sea Rescue.

Dari buku itu pula memberi idea kepada Walt Disney Pictures, Whitaker Entertainment dan Red Hawk Entertainment menerbitkan filem The Finest Hours.

Filem yang diarahkan oleh Craig Gillespie ini dijayakan pelakon terkenal seperti Chris Pine, Casey Affleck dan Ben Foster.

Ia mengisahkan tentang misi menyelamat yang berlaku pada 1952, apabila dua kapal tangki minyak SS Fort Mercer dan SS Pendleton musnah akibat dipukul ombak besar dan angin.

Saksikan usaha dan cabaran yang terpaksa diharungi sebuah bot penyelamat yang menempuh ribut taufan di lautan New England dengan menggunakan bot kayu CG 36500 sebesar 36 kaki, namun mereka terpaksa menentang ombak setinggi 70 kaki.

Penulis yang berpeluang menonton filem ini baru-baru ini dalam format 3D menerusi tayangan di pawagam IMAX, TGV merasa seolah-olah berada sama dalam misi menyelamat itu.

Pastinya dengan ombak yang tinggi dan ribut taufan yang melanda membuatkan penonton tidak senang duduk sepanjang misi menyelamat itu dilakukan.

Biarpun semua itu dibantu dengan imej janaan komputer (CGI), namun hasil suntingan itu membuatkan ia seolah-olah tampak benar-benar berlaku dan mendebarkan.

Bukan itu sahaja, filem ini juga membuatkan kita merasa kerdil dan menimbulkan keinsafan.

Berbalik kepada filem ini, garapan Gillespie dari awal hingga akhir sememangnya boleh diberi pujian. Dia tidak memfokuskan terhadap misi menyelamat semata-mata, tetapi  mengetengahkan semangat juang yang tinggi, setia kawan dan hubungan cinta.

Ke semua itu diadunkan dan disusun cantik untuk memastikan penonton setia sepanjang hampir dua jam filem ini ditayangkan.

Lakonan mantap

Lakonan mantap pelakon utama Chris Pine dan pelakon lain juga tidak kurang hebatnya.

Permainan emosi dan lakonan yang tampak bersahaja sudah cukup untuk mengunci perhatian penonton dalam menyaksikan filem ini.

Justeru bagi anda yang gemarkan filem-filem seperti The Day After Tomorrow, 2012, Armageddon, Deep Impact dan San Andreas, pastikan anda tidak terlepas untuk menyaksikan filem ini dan menonton sendiri misi menyelamat penting yang dilakukan tiga kru yang cukup berani.

loading...

Add Comment