Suhaimi, Ina fokus pada syarikat keluarga

TIDAK hanya sekadar berbakat dalam nyanyian, penyanyi nasyid Suhaimi Saad turut mempunyai minat terhadap bidang perniagaan.

Buktinya, kini, bekas ahli kumpulan In-Team ini sibuk menguruskan perniagaannya, Karya Mosus iaitu sebuah syarikat penerbitan karya seni dan pengurusan artis yang ditubuhkan sejak 2007.

“Syarikat ini sudah hampir 10 tahun ditubuhkan. Namun, setakat ini hanya pernah menerbitkan satu album dan single.

“Malah, kita juga masih belum bersedia untuk menguruskan artis lain,” katanya kepada Zass.

Ini kerana, sebelum ini, Suhaimi lebih selesa merebut peluang dan menimba pengalaman dengan syarikat lain terlebih dahulu.

Yakin pada diri sendiri dan sokongan keluarga, kini Suhaimi mengakui bersedia untuk memajukan syarikatnya itu.

Jadi, sebagai pengenalan, suami kepada penyanyi, Ina Naim ini ingin menjadikan Karya Mosus sebagai sebuah syarikat keluarga dengan beberapa perancangan telah diatur.

Menariknya, selain pasangan suami isteri ini, syarikat itu turut dinaungi oleh empat anak mereka iaitu Nurlayla El Ghufrony, Phyrosh El Fadwah, Sallman El Khoyri dan Hadie El Fardie yang berusia di antara dua hingga lapan tahun.

“Isteri saya, Ina akan kembali aktif menyanyi memandangkan anak-anak pun semakin membesar.

“Malah, saya bercadang untuk berduet dengannya menerusi single, Jutawan Pemurah. Insya-ALLAH, ia akan diterbitkan dalam tahun ini.

“Saya juga bertuah apabila dua anak kami, Hadie dan Sallman berminat dalam bidang ini dan sudah merakamkan 10 lagu zikir, doa dan selawat. Album mereka juga akan dikeluarkan pada tahun ini,” katanya.

Lebih membanggakan lagi, berbekalkan pengalamannya, Suhaimi kini mampu mencipta lagu dan lirik sendiri.

“Insya-ALLAH, single duet dan album kanak-kanak itu nanti bakal melihat kebolehan saya sepenuhnya terhadap bidang penciptaan lagu dan penulisan lirik,” katanya.

Pada masa sama, Suhaimi dan Ina turut merancang mengeluarkan produk makanan tambahan, Medigion, sekitar awal Mac depan.

Katanya, Medigion dihasilkan bersandarkan kepada makanan sunnah seperti yang diamalkan Rasulullah SAW.

“Sebenarnya, produk ini dibuat khas untuk anak-anak, namun ia juga sesuai bagi golongan dewasa.

“Sebelum dipasarkan, saya mencubanya kepada anak-anak kami terlebih dahulu dan kesannya bagus untuk kesihatan minda dan memberi daya ingatan yang baik.

“Bahkan, kami sekeluarga juga akan muncul sebagai model untuk produk itu nanti,” katanya.

Belajar di rumah

Selain sama-sama terlibat dalam aktiviti seni, hubungan kekeluargaan ini juga terjalin erat menerusi ukhuwah yang terbina.

Suhaimi yang merupakan ketua keluarga turut terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran keempat-empat anaknya itu.

“Anak-anak saya tidak bersekolah. Mereka mengamalkan kaedah belajar di rumah.

“Saya sendiri yang bertindak sebagai guru manakala Ina akan membantu sekiranya saya sibuk memenuhi jemputan menyanyi.

“Setakat ini, saya tiada masalah untuk mengajar mereka memandangkan saya seorang guru yang tegas walaupun mengajar anak sendiri,” kata Suhaimi yang juga merupakan bekas guru.

Tambahnya, anak-anaknya pernah dihantar bersekolah namun terpaksa berhenti lantaran tidak berpuas hati dengan perkembangan pembelajaran mereka.

“Saya pernah menghantar mereka bersekolah tadika di luar, tetapi perkembangan pembelajaran mereka perlahan berbanding saya sendiri yang mengajarnya.

“Sampai satu tahap saya akan melihat kecenderungan anak dan baru saya akan menghantar mereka menuntut ilmu di luar berdasarkan minat masing-masing,” katanya.

Kata Ina pula, situasi dan keadaan ekonomi yang kian meruncing menyebabkan mereka lebih selesa mengamalkan kaedah tersebut.

“Hari ini, dapat dilihat, pergi ke sekolah pun seolah-olah tidak menjamin keselamatan anak-anak.

“Jadi, kami cuba memberi yang terbaik kepada mereka,” katanya.

Selesa bergerak solo: Suhaimi

Tanpa disedari, sudah 10 tahun Suhaimi bergerak secara solo selepas mengambil keputusan berundur daripada kumpulan yang menaikkan namanya, In-Team.

Dalam tempoh itu, penyanyi berusia 35 tahun ini sudah menghasilkan empat album solonya iaitu Kias Cinta (2006), Kalamak (2008), Zikir Selawat dan Doa (2013) dan yang terbaru, Maksud Hidup (2015).

“Kini, saya sedang dalam rangka promosi untuk album keempat, Maksud Hidup yang dilancarkan sejak dua bulan lalu.

“Alhamdulillah, setakat hari ini jualannya juga dilihat agak memberangsangkan.

“Bukan saja daripada segi fizikal tetapi juga melalui online,” katanya.

Kata Suhaimi atau nama sebenarnya Mohd Suhaimi Saad, album Maksud Hidup diterbitkan dan diedarkan oleh Arteffects International Sdn Bhd, milik penyanyi nasyid Hafiz Hamidun.

Jelasnya, album itu memuatkan lapan lagu termasuklah zikir dan selawat iaitu Hasbi Rabbi, Astaghfirullah, Cinta Sidna, Ilahi Lastu Lilfirdaus, CintaMu, Nour El Anwar, Subhanallah dan Maksud Hidup.

“Ada satu lagu hasil karya saya sepenuhnya iaitu CintaMu manakala yang lain merupakan ciptaan Hafiz,” katanya.

Biarpun bergerak secara solo, penyanyi berusia 35 tahun ini mengakui tidak mempunyai masalah untuk menjalinkan kolaborasi dengan bekas kumpulannya, In-Team.

“Saya menyanyi secara solo sejak tahun 2006 lagi.

“In-Team pernah menawarkan saya supaya kembali semula kepada mereka, namun saya lebih selesa seperti ini.

“Namun, dalam tempoh itu juga, saya ada mendapat tawaran sebanyak tiga kali untuk muncul dalam album bersama mereka,” katanya.

Tambahnya, adalah menjadi kebiasaan apabila In-Team memerlukan khidmatnya terutamanya ketika ahli kumpulan lain tidak sihat.

“Saya tiada masalah untuk menyanyi bersama. Lagipun, saya dan ahli In-Team yang lain masih berkawan sehingga ke hari ini.

“Malah, tempat tinggal pun di kawasan kejiranan yang sama,” katanya.

Impian jadi kenyataan: Ina Naim

Status isteri dan ibu yang digalas tidak menjadi penghalang buat penyanyi, Ina atau nama sebenarnya, Nordiana Md Naim kembali aktif di persada seni tanah air.

Apa yang penting, impian dan kemahuannya itu hadir dengan keizinan si suami, Suhaimi.

“Sebenarnya, ia adalah impian yang tidak tertunai sejak 2010 lagi. Ketika itu, saya harus menangguhkan seketika hasrat ini kerana berbadan dua.

“Kini, anak-anak pun semakin membesar dan mungkin inilah masa terbaik saya.

“Alhamdulillah, suami turut merestui impian saya itu kerana tahu saya wanita yang sudah biasa bekerja,” katanya.

Sebelum ini, Ina pernah dilamar syarikat rakaman Hijjaz Records dan sempat hadir dengan dua album mini solo, Duhai Hati dan Lukisan Hati, kira-kira 10 tahun lalu.

Namun, namanya semakin tenggelam seterusnya menyepi selepas mendirikan rumah tangga dan dikurniakan empat cahaya mata.

Tambahan pula, masa penyanyi berusia 33 tahun ini sangat padat dengan rutin hariannya sebagai isteri dan ibu.

“Saya bukanlah penyanyi yang bagus, tetapi untungnya masyarakat sudah mengenali siapa saya.

“Kalau orang lain mungkin agak sukar untuk membina nama, tetapi saya pula hanya perlu menyuburkan semula bidang yang sudah lama ditinggalkan,” katanya.

Katanya, kemunculan semulanya itu bukan atas dasar mencari populariti semata-mata sebaliknya menjadikan platform untuk berdakwah.

“Saya ingin membuat sesuatu kepada masyarakat lebih-lebih lagi apabila ada sedikit ilmu, eloklah disampaikan. Bahkan, selain menyanyi, saya juga terbuka dengan apa saja tawaran asalkan ia bersesuaian.

“Rugi jika saya tidak melakukan apa-apa. Apabila saya dan suami bersama-sama dapat membina nama dalam industri, banyak yang kami boleh lakukan untuk mengukuhkan ekonomi keluarga,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai single duetnya itu, Ina mengakui akan ke studio rakaman dalam masa terdekat.

“Buat permulaan, saya akan menghasilkan single, Jutawan Pemurah duet dengan suami dan bakal diterbitkan oleh syarikat kami, tahun ini. Jutawan Pemurah berkisarkan kepada cara hendak  menggalakkan masyarakat supaya menderma dan bersedekah. Lagu itu merupakan ciptaan sepenuhnya daripada Suhaimi.

“Insya-ALLAH, saya akan tampil solo pula selepas itu,” katanya.

Ketika ditanya adakah imej berpurdahnya itu tidak akan mengganggu sekali gus menimbulkan pertikaian daripada orang ramai, Ina ternyata punya pendapat sendiri.

“Saya berpurdah selepas diminta oleh  suami, sejak 2012 lagi.

“Pada awalnya saya kurang selesa, namun selepas sekian lama saya mula serasi dan tidak bermasalah dalam melakukan segala aktiviti harian.

“Saya malas mahu ambil tahu apa yang orang hendak cakapkan. Biarlah orang hendak bercakap apa pun, yang penting saya tahu apa yang saya lakukan,” katanya.

Bahkan, Ina mengakui bersedia menghadapi sebarang kontroversi selepas ini.

“Kalau kerana berdakwah, biarlah. Saya sedia terima apa sahaja,” katanya.

loading...

Add Comment