Jiwa ‘baharu’ Rozie Rashid

SUATU ketika dahulu, nama Rozie Rashid cukup terkenal dalam arena lakonan.

Bahkan, dia juga pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Gubra pada Anugerah Skrin ke-8.

Bagaimanapun, tahun demi tahun, pemilik nama sebenar Roziwati Mohd Rashid, 46, ini mula beralih ke belakang tabir dan memilih untuk menjadi penulis skrip.

Mengimbau penglibatannya dalam bidang penulisan skrip, Rozie berkata, dia mula berjinak-jinak dalam bidang tersebut pada 2010.

“Saya memang dah lama minat menulis tetapi tidak secara serius, apatah lagi, saya tak ada pengalaman untuk menulis skrip.

“Saya banyak menuntut ilmu penulisan ini daripada bekas suami saya, ¬†Norhan Mahmud, dan dia juga banyak mengajar nak memantau skrip yang saya hasilkan.

“Malah, saya juga faham dengan konsep yang diajar dan saya juga boleh terangkan konsep itu kepada orang lain.

“Bagaimanapun ketika itu saya tidak menulis skrip secara serius dan tidak menggunakan nama sendiri.

“Kemudian selepas dipanggil TV3 pada 2013 untuk menulis skrip sebuah drama, saya kembali aktif dan menggunakan nama sendiri,” ujarnya kepada Zass.

Sejak itu, dia menjadikan bidang penulisan skrip sebagai kerjaya baharu dan turut menubuhkan kumpulan, PGL Team yang mana Rozie bertindak mengajar dan dalam masa sama mereka berganding bahu untuk menghasilkan skrip drama, telefilem, telenovela dan sitkom.

“Buat masa ini saya ada enam orang penulis termasuk saya dan saya bahagikan kepada kumpulan. Dalam masa sama, saya juga memantau kumpulan dan menyunting skrip yang dihasilkan mereka,” katanya.

Rozie berkata, pengalamannya sebagai pelakon juga banyak membantu dia menghasilkan skrip dengan lebih baik kerana dia sudah menggambarkan setiap karakter ketika menyiapkan skrip tersebut.

“Penulis skrip sebenarnya memainkan peranan penting dalam pembikinan sesebuah karya, kerana dari sekeping kertas kosong, kita kemudiannya mencorakkan jalan cerita dan karakter. Seterusnya baharulah direalisasikan oleh pengarah, pelakon dan produksi.

“Kalau berlakon dulu saya mungkin hanya membawa satu watak pada satu masa, tapi bila menulis skrip, saya membawa semua watak dan bila kita dapat dalami watak-watak itu, baharulah kita dapat hasilkan skrip yang baik,” jelasnya.

Rozie berkata, antara skrip yang dihasilkan dan sedang ditayangkan kini adalah Uda Dan Dara, manakala antara skrip lain yang pernah dihasilkan adalah Adam dan Hawa,  Memori Cinta Suraya.

“Sekarang ini yang sedang dalam penggambaran adalah Suami Tanpa Cinta dan akan datang, Hashtag Assalamuaikum Cinta dan Tuan Anas Mikael untuk puasa dan hari raya,” katanya.

Tambah Rozie, dia tidak meletakkan sebarang kriteria dalam penghasilan skrip dan hanya berharap skrip yang dihasilkan dapat menembusi pasaran luar.

“Alhamdulillah Memori Cinta Suraya turut dipasarkan di Indonesia, jadi secara tidak langsung skrip saya sudah ke luar negara.

“Bagaimanapun itu hanya permulaan dan saya berharap akan ada lebih banyak skrip yang kami hasilkan ke luar negara,” katanya.

Beri teladan pada keluarga

Tambah Rozie, pembabitannya dalam dunia penulisan sedikit sebanyak mempengaruhi anak-anak.

Jelasnya, anak-anaknya, TS Nadhirah, TS Nadhzurah, T Riqmal Hafizi dan Naeilah Najwa gemar membaca dan kadangkala membantunya mencari maklumat mengenai sesuatu perkara.

“Walaupun saya bekerja, saya tetap ambil kesempatan untuk berinteraksi dengan mereka. Contoh saya perlukan sesuatu maklumat, saya minta bantuan mereka cari.

“Jadi secara tidak langsung, dalam mereka membantu saya, mereka juga dapat ilmu daripada pembacaan tersebut. Malah anak-anak juga gemar membaca walaupun daripada telefon bimbit.

“Ia secara tidak langsung menyuntik hobi dan anak-anak mencontohi apa yang saya lakukan,” katanya.

Rindu berlakon

Ditanya mengenai karier lakonannya, Rozie berkata, buat masa ini, dia tidak dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap bidang tersebut. Bagaimanapun cintanya terhadap lakonan tidak pernah padam.

“Kalau saya gian sangat nak berlakon, saya akan terima telefilem yang memerlukan penggambaran dalam tempoh singkat.

“Tapi kalau perlukan komitmen tinggi yang berhari-hari, memang saya tolak kerana saya tak ada banyak masa untuk berlakon.

“Bagaimanapun, saya tidak akan tinggalkan terus bidang lakonan kerana itu adalah jiwa saya,” akhirinya.

loading...

Add Comment