Neelofa ingin tunai impian kendali program bual bicara

Sejak kebelakangan ini, bintang jelita, Noor Neelofa Mohd Noor, 27, dilihat lebih aktif sebagai pengacara, selain perniagaan tudungnya. Namun begitu, ia tidak bermakna bidang lakonan yang sama-sama memperkenalkan namanya di dunia seni dilupakan beliau begitu saja. Tahun lalu, filem Pilot Cafe arahan Osman Ali menjadi judul terakhir lakonannya menemui penonton di pawagam. Menerusi naskhah itu jugalah namanya melekat sebagai calon Top 5 kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 29. Selain kategori itu, Neelofa juga menjadi calon akhir Pengacara TV Popular. Beliau antara beberapa selebriti yang menyaksikan nama masing-masing tersenarai dalam dua kategori pada ABPBH 29. Artis lain ialah Emma Maembong, Siti Saleha, Sharnaaz Ahmad, Remy Ishak, Fathia Latiff, Ir Radzi dan Syed Shamim. Pelawak, Abam pula mendahului senarai dengan tiga pencalonan akhir. “Ikutkan, sudah dua tahun saya tidak berlakon filem. Jadi, tidak sangka juga apabila nama saya melekat dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular. Tahun lalu pun saya hanya berlakon dalam dua telefilem, iaitu Lukisan Takdir dan Wan Embong. Insya-Allah, kalau ada rezeki dan skrip pula bersesuaian, mungkin lepas raya saya akan berlakon di bawah arahan Michael Ang. “Saya memang mahu berlakon, cuma kadang-kadang kekangan masa oleh dunia perniagaan dan pengacaraan memaksa saya mengetepikan seketika bidang lakonan. Sekarang, saya memang selektif dalam bidang berkenaan. “Begitupun kalau ada masa, saya memang hendak berlakon. Malah, saya terharu apabila lakonan dalam telefilem tahun lalu mendapat pujian. Selepas beberapa tahun berada dalam bidang ini, termasuk mengikuti beberapa siri kelas lakonan, ada yang mula melihat peningkatan persembahan saya,” katanya yang akan bercuti ke London, Ahad ini. Berbanding kategori filem, Neelofa sendiri berasakan dirinya lebih wajar bersaing dalam kategori pengacaraan. Kali ini, Neelofa berdepan saingan Sherry Alhadad, Wak Doyok, Hazlin Hussein dan Izreen Azminda dalam kategori yang julung kali menyaksikan calon lelaki dan perempuan digabungkan. Pemenang dua trofi Pengacara TV Wanita Popular (ABPBH 2013 dan 2014) ini berkata, pembabitannya dalam program Meletop dan Anugerah Meletop sejak beberapa tahun lalu banyak menyumbang kepada pencalonan serta kejayaannya dalam kategori berkenaan. “Saya harus berterima kasih kepada Nabil Ahmad sebagai rakan pengacara selama ini. Kami sudah mula ada keserasian dan boleh membuat orang terhibur. Saya sendiri tidak boleh membayangkan kalau digandingkan dengan hos lain untuk program Meletop. Sekian lama bergandingan, kami bagai ada magnet yang menyatukan,” katanya. Dalam pada itu, Neelofa yang pernah berkongsi cerita mahu tampil dengan program bual bicara sendiri seboleh-bolehnya mahu merealisasikan hasrat berkenaan. “Saya rasa inilah masa yang tepat untuk merancang perkara itu. Mungkin saya sendiri boleh menerbitkan program bual bicara itu, selain bertindak sebagai pengacara. Kalau kena dengan orang yang betul dan berminat untuk merealisasikan impian, kenapa tidak saya sahut? Saya juga ada bertanya pada Hans Isaac mengenai selok-belok penerbitan program,” katanya.

loading...

Add Comment