Nora, Nedim mungkin kahwin tahun ini

Pelakon, Nora Danish, 34, tidak menolak kemungkinan dirinya bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasih, Nedim Nazri, pada tahun ini juga selepas tiga tahun bercinta. Bintang Polis Evo ini berkata, walaupun perbincangan ke arah itu pernah dilakukan, namun mereka berdua belum menetapkan sebarang tarikh untuk detik bersejarah terbabit. “Nampak gayanya tahun ini juga kami akan berkahwin. Bagaimanapun sejujurnya saya tidak mahu terburu-buru ke arah itu kerana ia juga perkahwinan kedua saya. “Saya tidak mahu berkahwin atas dasar cinta semata-mata, tetapi biarlah kerana Allah. Selain itu, saya juga mengimpikan perkahwinan yang sederhana. Apa yang penting ialah kami sah bergelar pasangan suami-isteri,” kata Nora ketika ditemui pada majlis pelancaran telefon pintar Oppo F1 Plus yang diadakan di Sunway Pyramid, Bandar Sunway, di sini sebentar tadi. Nora juga adalah duta dan ikon selfie kepada jenama telefon pintar terbabit. Mengenai kenyataan dibuat bapa Nedim, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, yang seolah-olah memberikan lampu hijau kepada beliau dan anaknya untuk berkahwin, seperti dilaporkan sebuah portal, semalam, aktres jelita ini mengaku terkejut dengan berita itu. “Saya tidak sangka ada pihak media yang bertanyakan hal itu kepadanya (Nazri). Saya pula tak mahu ulas perkara terbabit kerana menghormati statusnya sebagai seorang menteri. “Bagaimanapun, saya pernah beberapa kali bertemu dengan beliau, begitu juga dengan emak Nedim. Mereka tahu kami bercinta,” kata pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Puteri ini.

loading...

Add Comment