Sherry Ibrahim mengaku penakut

Belum sebulan bertudung, rata-rata ramai orang memuji imej baharu pelakon Sherry Ibrahim yang meraikan hari jadinya yang ke-33 pada 3 April lalu. Dengan wajah bujur sirih, gaya bertudung Sherry tampak manis dan cukup sesuai. Namun, bagi bintang drama Teduhan Kasih ini, masih banyak lagi perkara yang perlu diberi perhatian terutama dalam aspek ibadat dan ketrampilan diri seorang muslimah. Sherry mengaku dia lebih istiqamah dalam banyak perkara sekarang. “Saya amat menitik beratkan soal pakaian. Saya cuba memilih persalinan yang tidak keterlaluan atau lebih tepat selesa. “Tudung pula saya suka pilih daripada jenis labuh. Saya anggap proses ini sebagai ruang pembelajaran terbaik. Memang banyak lagi yang perlu saya betulkan. “Mujur ada pihak yang membantu. Jika ada sesi fotografi, misalnya, ada jurusolek yang sudi membantu saya dalam menata gaya,” katanya kepada BH Online.

Mengenai persaingannya dalam program realiti, Gempak Superstar yang disertainya, Sherry mengakui, ia memberi landasan untuk merealisasikan impian menjadi penyanyi. “Sejak di bangku sekolah lagi, saya minat menjadi penyanyi. Cuma peluang tiada. Malah ada yang fikir saya pernah menghasilkan single. “Sebenarnya, projek itu tidak kesampaian. Dulu memang saya ada berhasrat bekerjasama dengan beberapa penyanyi, namun ia tidak menjadi kenyataan,” katanya yang pernah muncul dalam projek single dihasilkan pelakon Fattah Amin berjudul Hero Untukmu. Terus bercerita mengenai program realiti itu, Sherry mengaku ia lebih kepada mencabar diri, bukan untuk bersaing. “Saya sebenarnya sangat penakut. Hendak naik ke pentas saya gementar semacam…Keyakinan diri memang kurang. “Tapi selepas berentap pada minggu pertama, saya lega dan jadi terharu,” katanya yang menangis selepas membuat persembahan lagu Kalis Rindu dendangan asal Elyana pada konsert minggu pertama, baru-baru ini.

loading...

Add Comment