Liyana Jasmay giat perluas empayar

KELIBAT figura ini di dalam industri seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Memulakan karier seawal usia sembilan tahun sebagai pelakon, Liyana Jasmay sudah membuktikan kehadirannya bukan sekadar picisan.

Pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 pada 2010 menerusi filem Papadom, Liyana juga pernah memenangi trofi Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular 2009 dan Pelakon Wanita Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2009 dari filem Kami The Movie.

Bagaimanapun bagi wanita berusia 28 tahun ini, trofi yang dimenangi bukan bermakna dia boleh duduk goyang kaki dan hanya menanti tawaran yang datang.

Bahkan dia juga mungkin seperti sesetengah artis lain yang pernah merasa kecewa dengan industri dan keadaan sekeliling, serta hampir menguburkan kariernya.

“Pada tahun 2011, saya pernah berputus asa meneruskan karier lakonan kerana merasakan produksi dan peminat lebih menyukai pelakon yang mempunyai pakej rupa berbanding bakat lakonan.

“Lagi pula saya sudah menggenggam trofi Pelakon Terbaik dan saya terfikir, apa lagi yang mahu saya buktikan.

“Jadi dengan sokongan pada dari keluarga terutamanya maka saya menubuhkan Mermaid Pictures dan diikuti Mermaid Studios,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single Oh Nana dan Selesa Tanpamu di Bistro 160, Hotel Grand Millennium, baru-baru ini.

Tambah ibu kepada Sofia Arissa, 2 tahun dan Selena, sembilan bulan ini, idea penubuhan ini di dorong atas dasar mahu membantu dirinya sendiri dan apatahlagi dia bukan individu yang hanya sekadar berpeluk tubuh menantikan tawaran yang datang.

Bahkan dia tidak pernah mengambil kesempatan dengan kehidupannya, biarpun ada yang melihat Liyana sebagai anak orang senang.

“Bila saya bekerja dengan abang Afdlin Shauki, Datuk Hans Isaac, Datuk Rosyam Nor, mereka sering menasihati saya pelbagai perkara.

“Mengenai karier, mengenai pentingnya menghormati orang lain dan bagaimana membantu diri sendiri.

“Pada mulanya saya memang tak jelas apa yang mereka cuba sampaikan dan bila saya dah melaluinya baharulah saya faham.

“Walaupun ada yang mengatakan apa yang saya lalui hari ini kerana bantuan ayah saya, tapi saya rasa tak adil kerana bagi saya keluarga saya bukanlah tergolong sebagai kaya-raya sehinggakan saya boleh duduk diam tanpa berbuat apa-apa.

“Bagi saya, apa yang saya kecapi hari ini adalah usaha untuk membantu diri saya sendiri dan bantuan orang sekeliling termasuk kakak saya yang tidak jemu membantu dan melontarkan idea serta dalam masa yang sama memberi pendapat dan kritikan yang jujur,” ujarnya.

Dua single baharu

Berkongsi perkembangan terkininya, isteri kepada ahli perniagaan, Fathuddin Mazlan kembali dengan dua buah lagu baharu, Oh Nana dan Selesa Tanpamu selepas kali terakhir tampil dengan single Jujur, tiga tahun lalu.

Sebelum ini Liyana pernah tampil menerusi tiga single iaitu Aku Tak Percaya Cinta, Aku Jatuh Cinta dan Cinta Bersatu.

“Alhamdulillah selepas sekian lama tertangguh, akhirnya saya dapat melancarkan dua single terbaharu ciptaan Alyph Abdullah atau pun dahulu dikenali dengan nama Alyph Sleeq.

“Sebelum itu, saya sudah beberapa kali berjumpa dengan komposer termasuk dari Indonesia tapi tak ada satu pun yang menarik.

“Bila Alyph hantar demo pada saya, saya terus jatuh cinta kerana saya sukakan muziknya yang lebih menepati selera terkini.

“Atas dorongan Alyph juga, saya  merancang mengeluarkan album tahun depan.

“Saya juga merancang untuk mengadakan sesi jelajah dan bertemu peminat bermula penghujung tahun ini.

“Bukan itu sahaja, saya juga sedang merangka untuk mengadakan konsert mini di tiga buah negara iaitu di Kuala Lumpur serta Singapura dan Jakarta,” ujarnya.

Lebih istimewa, Liyana dengan kerjasama Warner Music Malaysia turut menjalani sesi penggambaran muzik video dua lagu tersebut di Los Angeles.

“Ia merupakan salah satu impian saya dan Alhamdulillah perkenalan saya dengan pengarah muzik video ini telah memudahkan proses penggambaran dan saya sangat suka dengan hasilnya,” katanya.

Selain lagu terbaharu, Liyana melalui produksi Mermaid Studios yang diusahakan bersama kakaknya, Adriana Jasmay bakal mengeluarkan filem berjudul Bella & Jamie tahun depan. Selain Liyana, turut membintanginya ialah Juliana Evans.

loading...

Add Comment