Kemuncak kerjaya Yuna

RAKYAT Malaysia boleh berbangga dengan pencapaian penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna pada ketika ini. Setelah bertapak di Amerika Syarikat (AS) hampir lima tahun, bakatnya kini lebih dikenali kebanyakan rakyat negara itu.

Selain mendengar suara, wajahnya  turut terpampang di ruang iklan elektronik di tengah bandar raya New York, ibu negara berkenaan sekali gus  menjadi artis Malaysia pertama yang berjaya berbuat demikian.

Menceritakan tentang pencapaian itu, menurut Yuna, gambarnya terpampang di menara sebuah syarikat pelaburan saham, Nasdaq di Times Square.

“Gambar beberapa artis lain seperti kumpulan The Chainsmokers pernah keluar di iklan tersebut. Bulan ini  turn gambar saya keluar di billboard.

“Saya tak tau sampai bila gambar tu akan dipamer. Yang saya boleh cakap, thank you very much,” katanya semasa pelancaran skarf YunaForLosRavelda di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagi pelantun lagu Crush  bersama  Usher  itu menganggap ia pencapaian tertingginya sepanjang melibatkan diri  dalam dunia muzik dan menjadi pemangkin semangat untuk terus bergiat aktif dalam arena berkenaan.

Tiada unsur perkauman

Biarpun sibuk dengan kerjaya seni, Yuna turut diajukan soalan mengenai perjalanan dirinya di sana selepas pilihan raya berlangsung.

Bagi Yuna, segala-galanya berjalan seperti biasa meskipun ahli parti Republikan, Donald Trump memenangi pilihan raya Presiden AS, bulan lalu.

Menurutnya, dia tidak dipandang serong oleh majoriti negara tersebut, tidak pernah dilemparkan cercaan berunsur perkauman setakat ini.

“Cuma ada sekali, beberapa bulan lalu, saya dicubit seorang lelaki yang tidak dikenali ketika berjalan seorang diri di New York.

“Selain dicubit, lelaki itu kata ‘pendatang haram, pendatang haram’ kepada saya. Tapi, saya rasa lelaki itu tak betul kot,” katanya disertai ketawa besar.

Menurut penyanyi itu, majoriti rakyat AS bersikap terbuka dan kalau ada berlaku gertakan perkauman, perkara tersebut hanya di media sosial sahaja.

Walaupun wujud insiden berkenaan  Yuna tidak terfikir mengupah pengawal peribadi.

“I just do my work and not disturb others. Everything is fine,” ujarnya yang kini sedang popular dengan lagu Pulang bersama Sona One.

loading...

Add Comment