TUMPAT – Arus deras air hujan bertakung yang memasuki tanah perkuburan Islam Kubur Datuk menyebabkan lebih 100  kubur rosak apabila belindan dan batu nisan hanyut dibawa arus.

Paling menyedihkan apabila empat keranda yang ditanam bersama jenazah timbul selepas pasir liang lahad itu turut terhakis sedalam empat kaki dibawa arus deras.

Penghulu Kampung Kubur Datuk, Rosli Mohd Nor berkata, dia menyedari kejadian batu nisan tercabut dan belindan berselerakan selepas subuh tadi.

“Agak terkejut apabila batu nisan tercabut, belindan berubah kedudukannya, ada yang pecah dan hanyut.

“Bila saya periksa di tanah perkuburan itu, ada kawasan ditakungi air dan air itulah yang menyebabkan tanah perkuburan ini terhakis kerana ia membentuk laluan air panjangnya satu meter dan dalam air dua kaki,” katanya.

Rosli berkata, khuatir kawasan perkuburan ini makin terjejas, dia bersama lebih 100 penduduk Kampung bergotong-royong membina laluan air bagi mengelakkan arus deras itu menimpa kubur.

Katanya, mana-mana keranda yang timbul dikambus semula dan batu nisan yang tercabut di letak semula ke tempat asal.

“Kami  bersatu untuk menyelamatkan tanah perkuburan ini kerana gotong royong ini juga melibatkan Pengerusi JKKP Mukim Dalam Rhu, Mohamed Rashid Dollah dan Penghulu Mukim Dalam Rhu,”  katanya.