Misha kurang sihat, Hafiz gementar

PEMENANG tempat kedua, Hafiz Suip dan Misha Omar yang membawa lagu sepenuhnya ciptaan Ajai, Terimaku Seadanya dilihat memberi saingan sengit kepada Dayang.

Di sebalik persembahan mantap Misha dan Hafiz pada malam itu, ibu kepada Muhammad Idris Ezzwa ini sebenarnya kurang sihat.

“Saya sudah beberapa hari batuk dan pada awalnya cuba merahsiakan kesihatan saya daripada Hafiz kerana tidak mahu dia bimbang.

“Tapi ketika hadir ke PWTC petang tadi (Ahad), saya berterus terang kepada Hafiz kesihatan saya dan minta dia tidak bimbang.

“Alhamdulillah lega kerana dapat juga menyanyi dengan baik,” jelasnya.

Biarpun nampak tenang pada persembahan mereka, juara musim ketujuh Akademi Fantasia, Hafiz mengakui agak gementar dan bimbang.

Namun dia percaya dengan kemampuan Misha, apatah lagi mengagumi wanita itu sejak awal pembabitan Misha dalam industri seni lagi.

“Walaupun dia beritahu kurang sihat, tapi saya percaya dia boleh lakukan dan kami mahu pastikan Dayang tidak menerima laluan mudah untuk menjadi juara,” katanya.

Ditanya mengenai idea persembahan, Misha berkata, ia datang hasil kreativiti mereka sendiri, namun pada masa sama, mereka turut mendapat bimbingan daripada Norzizi Zulkifli mengenai idea, pergerakan dan emosi di atas pentas.

Atas kemenangan tempat kedua pada malam tersebut, Misha, Hafiz dan Ajai membawa pulang wang tunai RM35,000 berserta trofi.

Ilham depan bilik mayat

Dalam pada itu, kumpulan Projector Band mengejutkan ramai pihak apabila lagu Sudah Ku Tahu, ciptaan sepenuhnya anggota kumpulan itu, Razif atau lebih dikenali dengan nama Angah dipilih pemenang tempat ketiga.

Kemenangan itu melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM20,000 berserta trofi.

Namun sebagai kumpulan baru di pentas AJL, persembahan kumpulan ini tidak terlepas dengan kritikan yang menganggap persembahan mereka sangat klise.

“Idea persembahan itu adalah idea kami bersama. Bagi kami persembahan itu hendak menjelaskan perjalanan lagu ini di mana seorang wanita curang dengan teman lelaki.

“Jika ada pihak yang tidak suka dengan idea tersebut, kami anggap ia adalah sesi pembelajaran untuk kami,” ujar Razif.

Berkongsi mengenai idea pembikinan lagu itu, Razif berkata, dia mendapat ilham ketika sama-sama bekerja sebagai pengawal di bilik mayat sebuah hospital bersama pemain bass kumpulan itu, Ahmad Khusairi Saferi (Mat).

“Kami bekerja tiga tahun sejak 2011 dan selama itu kami bekerja syif malam dan jaga bilik mayat kerana tidak ramai yang mahu.

“Jadi bila tidak ada tugas, kami isi masa ┬ábermain gitar dan dari situlah idea datang.

“Tidak dinafikan idea lagu Sudah Ku Tahu ini adalah ┬ápengalaman sendiri,” katanya.

Razif berkata, kemenangan mereka pada malam itu menyuntik lagi semangat untuk menghasilkan lagu lebih baik.

loading...

Add Comment