‘Rombongan’ ditahan Imigresen

Seramai 49 warga Indonesia yang baru beberapa jam menjejakkan kaki ke Malaysia melalui Tanjung Pengelih, Johor ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri selepas mencurigai kemasukan mereka ke negara ini.

Kesemua ‘ahli rombongan’ itu ditahan ketika pemeriksaan dijalankan terhadap sebuah bas persiaran yang disewa khas dan membawa penumpang berlebihan dalam satu operasi bersepadu di Hentian Rehat dan Rawat (R & R) Jejantas Ayer Keroh, di sini, semalam.

Timbalan Penolong Pengarah Kanan Jabatan Imigresen negeri, Husin Musan berkata, kesemua 16 lelaki dan 33 wanita berusia 19 hingga 45 tahun itu ditahan semasa menaiki bas yang disewa khas dalam perjalanan ke Lembah Klang dalam operasi diketuai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Siasatan awal, kesemuanya tiba di Malaysia petang tadi (semalam) melalui Tanjung Pengelih selepas menaiki feri dari Batam dan mereka dipercayai dalam perjalanan ke Kuala Lumpur selain ada juga yang mahu ke Rawang dan Parit Buntar, Perak.

“Kebanyakan penumpang memberi alasan sama seolah-olah sudah diberi skrip iaitu mahu berjumpa saudara yang kerja dan tinggal di Malaysia selain ada juga yang tidak tahu mahu ke mana dan hanya menaiki bas seperti diarahkan,” katanya.

Husin berkata, selain itu pihaknya mengesyaki kemasukan kesemua warg asing itu atas niat untuk melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen apabila pasport yang ditemui tidak dipegang sendiri sebaliknya disimpan seorang lelaki tempatan yang turut menaiki bas sama.

“Pasport mereka ditemui sudah terkumpul serta diikat dengan getah dan setiap pasport mempunyai catatan pada kertas iaitu lokasi penumpang diturunkan ¬†berserta nombor telefon individu.

“Kalau ikut logik, seorang pelancong akan memegang sendiri pasport mereka dan bukannya diserahkan kepada orang lain atau disimpan indvidu lain. Jadi kita terpaksa tahan dahulu untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, penahanan itu dilakukan di bawah Seksyen 56 (A)(a) Akta Imigresen 1959/63 kerana ada niat untuk lakukan kesalahan.

Sementara itu, Ketua Penguatkuasa SPAD (Wilayah Selatan), Mejar (B) Adli Azmi Ahmad berkata, siasatan terhadap bas persiaran berkenaan mendapati hanya memiliki permit bas sekolah.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati bas yang memiliki ¬†‘body marking’ bas persiaran itu tiada permit membawa pelancong dan tindakan kompuan dikenakan ke atas pemandu kerana melakukan operasi di luar kelas lesen,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas operasi yang turut dihadiri Setiausaha Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Datuk Ghaffar Misdar dan Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (Wilayah Selatan), Mohd Shahrir Amin Ahmad.

Operasi selama tiga jam bermula 9 malam berkenaan turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

loading...

Add Comment