Elly Mazlein Kembali Buka Pintu Hati Untuk Lelaki

Sejak hujung minggu lalu nama pelakon dan penyanyi Elly Mazlein kembali panas. Menerusi ruangan pojok sebuah akhbar mingguan, dia dikatakan sedang menjalin cinta dengan seorang jejaka yang tidak pula dinyatakan sebarang identiti.

Memetik laporan Kosmo! Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanapi, 37, enggan memberikan sebarang komen terhadap isu tersebut.

Jelasnya, buat masa ini dia cukup bahagia dengan kehidupan sebagai ibu tunggal di samping anak, Putri Zara Sefhia, 11 bulan dan bapanya. Pun begitu, sebagai wanita dan manusia biasa, hatinya kini terbuka untuk kembali bercinta.

Tidak serik untuk berkahwin lagi walaupun pernah melalui episod hitam keruntuhan rumah tangga pada 2015 namun penyanyi yang popular Usah Di Tambah Bara Yang Tersimpan ini tidak mahu terburu-buru.

“Saya tidak mahu komen mengenai isu tersebut, namun sebagai wanita dan manusia biasa, saya pun ada hati dan perasaan.

“Andai ditakdirkan bertemu jodoh sekali lagi, saya tidak menolak. Cuma buat masa sekarang fokus saya hanyalah untuk kerjaya seni dan membesarkan anak sebaik mungkin,” katanya.

Selain itu, Elly juga bakal muncul dengan sebuah single dan drama terbaharu serta produk kecantikan jenamanya sendiri.

loading...

Add Comment