Konsert amal karyawan 19 Februari

Hasrat Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mengadakan konsert amal bagi mengumpul dana membantu penyanyi veteran Datuk Dhalan Zainuddin, 75, bakal direalisasikan dalam masa terdekat ini.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Kisah Seorang Biduan itu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas diserang angin ahmar pada Julai tahun lalu.

Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez berkata, konsert amal itu bakal berlangsung pada 19 Februari ini di lokasi akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

“Persembahan istimewa ini bakal menggabungkan beberapa artis era 1980-an di satu pentas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Freddie, Karyawan menyasarkan kutipan dana RM10,000 menerusi konsert itu selain turut mencari usaha lain bagi membantu Dhalan.

“Lebih manis, persembahan itu dimeriahkan lagi dengan nyanyian Dhalan bersama isterinya Datin Effa Rizan. Kami mengharapkan yang terbaik untuk konsert ini,” katanya.

Selain menyanyi, Dhalan pernah membintangi filem berjudul Kisah Seorang Biduan bersama Gaya Zakry, Jeffrydin, Bob Mustaffa, Dian P Ramlee, Yusof Latiff dan Datuk Yahya Sulong pada 1979.

Karier nyanyian beliau bermula selepas memenangi kategori Persembahan Keseluruhan Terbaik dalam pertandingan Bintang RTM pada 1975.

Pada 1978, Dhalan mencipta sejarah apabila menjadi penyanyi tanah air pertama mengadakan konsert di Stadium Negara dengan lagunya Kisah Seorang Biduan.

Karyawan akan terus bantu artis yang memerlukan

Mengulas aktiviti Karyawan tahun ini, Freddie berkata, persatuan itu bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Karnival KL Extravaganza di Setiawangsa, Kuala Lumpur, bulan depan.

“Karnival itu turut membabitkan artis Karyawan. Ini salah satu usaha persatuan membantu artis yang memerlukan dan kami mempunyai beberapa perancangan untuk sepanjang tahun ini.

“Pada Mac juga, Karyawan melangsungkan program golf amal bersama selebriti,” katanya.

Selain itu, Karyawan dalam perancangan mengadakan persembahan bulanan di Panggung Anniversary, Kuala Lumpur.

“Panggung itu sudah diubah suai dan kami berharap dapat melakukan persembahan nyanyian dalam pelbagai tema secara mingguan ataupun bulanan.

“Kami berharap semua perancangan Karyawan sepanjang tahun ini berjalan lancar,” katanya.

Sejak ditubuhkan, Karyawan kini mempunyai 4,000 ahli di seluruh negara.

loading...

Add Comment