Mana rasa hormat sebagai artis?

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) kesal dengan tindakan sebuah stesen TV Singapura yang menyiarkan rancangan mempersendakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

Paling dikesalkan rancangan OK Choppe terbitan Mediacorp 5 milik Temasek Holdings itu turut menampilkan pengacara terkenal, Najip Ali yang kini terbabit sebagai juri Maharaja Lawak Mega terbitan Astro, di sini.

Setiausaha Agungnya, Hafiz Nafiah dalam satu kenyataan berkata, Seniman mendesak penerbit program itu meminta maaf kepada Perdana Menteri dan rakyat Malaysia.

“Seniman juga akan mengambil beberapa langkah lagi jika permohonan maaf secara bertulis dan rakaman tidak dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Rancangan OK Choppe episod ke-26 yang disertai beberapa selebriti negara itu termasuk Najip Ali tidak sensitif dengan budaya dan sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia apabila sengaja menjadikan Perdana Menteri sebagai bahan jenaka.

Dalam rancangan itu, artis terbabit diminta melengkapkan tajuk berita berkaitan Najib yang dikurangkan satu perkataan iaitu “Najib slams… for threatening Malaysia progress” dan perkataan yang tertinggal itu adalah `fake news‘.

Artis terbabit kemudian menyambung ayat itu dengan kata-kata yang menghina dan merendah-rendah pemimpin negara.

“Seniman berpendapat adalah tidak wajar isu-isu yang membabitkan pemimpin sesebuah negara dijadikan bahan jenaka untuk sesebuah rancangan televisyen demi mengaut keuntungan dan ‘rating’ penonton,” katanya.

Menurutnya, Malaysia yang mengamalkan dasar pintu terbuka kepada artis Singapura untuk mencari rezeki di sini sepatutnya dihormati.

Hafiz berkata, Seniman juga akan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, Jumaat ini.

loading...

Add Comment