Rohana Jalil tidak pernah putus asa bergelar penyanyi

LAGU Rayuanku ternyata membawa tuah tersendiri buat penyanyi popular era 1980an, Rohana Jalil atau nama sebenarnya Dara binti Abdul Jalil, 62, apabila lagu itu telah menaikkan namanya sekali gus meraih populariti sebagai penyanyi era itu.

Terdahulu, sebelum itu, Rohana sebenarnya telah lama berjinak-jinak dalam dunia nyanyian malah pernah dinobatkan sebagai juara Bintang RTM pada 1981 selain aktif menyanyi di kelab-kelab hiburan.

“Walaupun bergelar juara bintang RTM, nama saya tidak begitu dikenali ramai sebagaimana bekas juara yang lain, malah album pertama dan kedua saya juga gagal meraih perhatian peminat.

“Meskipun begitu, saya tidak pernah mengeluh apatah lagi mahu berputus asa kerana saya percaya jika kita tidak putus usaha, insya-ALLAH rezeki mesti ada.

“Akhirnya lagu Rayuanku ciptaan komposer A. Ali memberi sinar baru kepada kerjaya saya apabila lagu daripada album keempat (1988) itu telah berjaya mendapat perhatian peminat,” katanya.

Mengimbas perjalanan seninya yang bermula sekitar hujung 1970-an, kata Rohana, bukanlah sesuatu yang mudah untuk bersaing dengan ramai penyanyi hebat ketika itu.

“Sebelum menyertai Bintang RTM, saya memang sudah aktif menyanyi terutamanya dengan RTM negeri Johor yang sering menganjurkan pelbagai program nyanyian sehingga ramai penerbit mencadangkan saya masuk pertandingan itu.

“Mungkin ramai yang tidak tahu sebelum bergelar juara, saya sebenarnya sudah tiga kali menyertai Bintang RTM dan hanya penyertaan kali keempat sahaja saya berjaya berada di depan.

“Ketika itu terlalu ramai yang hebat sehinggakan kita perlu berusaha lebih keras untuk menjadi yang terbaik dan merebut peluang yang ada,” ujarnya yang baru berusia 24 tahun ketika menyertai pertandingan tersebut.

Biarpun lambat dikenali berbanding rakan-rakan seangkatannya yang lain, kata Rohana, kerjaya seninya tetap rancak dengan pelbagai jemputan persembahan selain tawaran merakamkan album.

“Walaupun nama saya tidaklah sebesar penyanyi-penyanyi lain seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khatijah Ibrahim, Noor Kumalasari dan sebagainya, saya turut sibuk dengan pelbagai undangan persembahan pentas.

“Situasi itu membuatkan saya langsung tidak fikirkan tentang populariti kerana bagi saya apa yang penting kerja saya berjalan seperti biasa dan pendapatan bulanan cukup menampung kehidupan saya dan keluarga,” katanya pernah tampil dengan 11 buah album solo selain lapan album kompilasi.

Hargai sokongan peminat

Mendirikan rumah tangga bersama lelaki pilihan, Jahangir Khan pada tahun 1984, Rohana menyifatkan rezekinya semakin murah selepas berkahwin, malah statusnya sebagai isteri juga tidak pernah menghalang dirinya untuk terus aktif.

“Kalau orang lain kurang popular selepas berkahwin, saya pula sebaliknya apabila selepas berkahwin makin banyak tawaran-tawaran yang diterima.

“Antara yang saya tak dapat lupa adalah apabila diminta untuk menyanyikan lagu Cinta Yang Terbiar di Anugerah Juara Lagu 1986, menggantikan penyanyi asalnya, Jamal Abdillah yang tidak dapat membuat persembahan ketika itu.

“Saya mendapat persembahan ketiga terbaik dan bermula dari situlah populariti mula menyebelahi saya sedikit demi sedikit sehinggalah saya tampil dengan lagu Rayuanku dan dikenali sehingga hari ini,” ujar ibu kepada tiga orang anak ini jujur.

Berkongsi kenangannya bersama peminat, kata Rohana, sambutan peminat dulu dan sekarang sangat berbeza terhadap artis yang mereka minati.

“Dulu peminat sangat menghargai artis menerusi sokongan yang diberikan dengan menghadiri setiap persembahan pentas walaupun berbayar selain setia membeli album-album artis yang mereka suka.

“Alhamdulillah merasa jugalah sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat-peminat saya yang setia dengan saya dari awal bergelar artis sampai sekarang.

“Paling tidak dapat lupa, saya pernah menerima surat peminat sehingga berguni-guni, termasuk pelbagai kiriman hadiah termasuk barang berharga seperti gelang emas dan sebagainya,” imbasnya.

Biarpun sudah lebih 30 tahun berada dalam bidang seni dan dikenali ramai, Rohana mengakui tidak pernah melupakan jasa baik mereka yang banyak membantunya sebelum ini seperti S. Atan, A. Ali dan beberapa nama lagi.

“Saya tidak akan lupa jasa S. Atan  yang begitu menghargai bakat nyanyian saya, malah dia jugalah yang bersungguh-sungguh menghantar demo nyanyian saya kepada stesen TV dan radio selain syarikat rakaman.

“Begitu juga dengan A Ali yang memberikan saya lagu Rayuanku, walaupun lagu itu pada asalnya merupakan milik penyanyi lain, namun dia percaya saya dapat membawakan lagu itu dengan baik,” kata Rohana yang banyak mencipta kejayaan di bawah syarikat rakaman NSR Records.

loading...

Add Comment