Maksimumkan kemampuan

Enam tahun mengendalikan rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3, Zaim Helmi Zaini, 31, memerlukan perubahan dalam kerjayanya.

Lantaran itu, dia nekad meninggalkan MHI tahun lalu untuk menjadi ‘jurujual’ dalam program demonstrasi CJ Wow Shop yang bersiaran di saluran TV Media Prima iaitu TV3, ntv7 dan TV9.

Menurut Zaim, MHI berjaya membentuk keyakinan dirinya untuk berhadapan dengan orang ramai kerana dia bukan saja bersiaran di studio malah turut ke lokasi penggambaran di luar seperti Jom Heboh.

“Ia pengalaman kerja yang sangat manis namun saya perlu bergerak ke depan dan memaksimumkan kemampuan diri.

“Bersama CJ Wow Shop saya mendapat pendedahan baru dalam bidang jualan. Supaya saya dan pengacara lain lebih memahami produk yang mahu dijual, kami dihantar berkursus ke Korea Selatan atau pasukan dari sana datang ke sini untuk memberi latihan.

“Kami bukan menjual satu produk saja tetapi semua rangkaian barangan membabitkan kecantikan, peralatan rumah tangga, periuk belanga dan alat senaman. Kami mesti mencubanya terlebih dulu dan memahami cara penggunaannya dengan betul, barulah kami boleh meyakinkan pengguna,” katanya.

Katanya, majikan CJ Wow Shop yang berasal dari Korea Selatan sangat cerewet dan amat menitikberatkan semua aspek termasuk penampilan, cara pegang produk dan posisi berdiri yang betul.

“Ia membabitkan satu badan. Pada mulanya saya tertekan kerana susah nak buat tetapi kini dapat menyesuaikan diri dan selesa.

“Bolehlah saya gunakan segala ilmu menjual itu dalam perniagaan produk kecantikan yang saya dan isteri sedang usahakan,” katanya yang bersiaran secara langsung di TV9, dari jam 10 pagi hingga 4 petang.

Pada pertemuan itu juga, Zaim menyuarakan hasrat hati untuk mengacarakan program sendiri seperti travelog.

“Saya mahu mengacarakan program yang lebih santai dan tidak mahu terus ‘terikat’ dengan imej pengacara MHI yang agak formal serta bersedia untuk bekerjasama dengan produksi luar.

“Rasanya belum terlewat untuk saya melebarkan sayap mengacarakan pelbagai program penyiaran termasuk berbentuk hiburan dan gameshow.

“Impian saya mahu jadi pengacara serba boleh,” katanya.

Mahu berlakon

Selain mengacara, Zaim juga berminat mencuba nasib dalam dunia lakonan.

“Kenapa tidak kerana jika orang lain boleh buat, takkan saya tak boleh buat. Cuma sebelum ini saya tidak berpeluang melakukannya dan kini bersedia menyahut cabaran itu,” katanya.

Menyedari tanggungjawab sebagai ketua keluarga semakin bertambah dengan kehadiran anak sulung, Zaaef Al-Ikhlas, 6 bulan, dia dan isteri, Nurdamia Mohamed Nasir, 30, sedang merangka strategi memantapkan perniagaan produk kecantikan mereka yang kini boleh dibeli menerusi dalam talian.

“Isteri memang minat berniaga dan selepas dapat sambutan memberangsangkan serta nampak potensi luas dalam perniagaan kecantikan, kami meluaskan lagi pasaran malah berhasrat membuat kedai. Dengan cara ini kami dapat mendekati pelanggan sedia ada dan juga yang baru,” katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk itu, layari Instagram Zaim iaitu @zaimhelmizaini dan Facebook @Za’im Helmi Zaini.

loading...

Add Comment