Intan Sarafina Seronok Konvoi Takbir Raya

Sejak kembali aktif semula di dunia nyanyian, Intan Sarafina, 36, bersyukur kerana kemunculannya diterima baik oleh peminat.

Menurut Intan atau nama sebenarnya Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya, selain banyak menerima undangan persembahan, dia kini kembali membiasakan diri dengan kesibukan sebagai seorang selebriti.

“Alhamdulillah, dulu orang mungkin tak berapa kenal dan mungkin ada juga yang sudah lupa pada saya tetapi sejak kebelakangan ini ramai yang sudah kenal.

“Saya pun kembali biasakan diri dengan kesibukan sebagai artis. Hari raya kedua nanti saya sudah kembali bekerja. Buat pertama kalinya selama bergelar penyanyi, saya terlibat dengan persembahan ketika hari raya,” katanya yang pernah popular dengan lagu Duhai Malam, sekitar awal tahun 2000.

Perkembangan lain, ibu kepada tiga cahaya mata ini bakal melancarkan single terbaru tidak lama lagi. Dia juga dalam perancangan menghasilkan album mini.

“Saya akan keluarkan single terbaru berjudul Di Awan Rindu. Lagu tersebut merupakan ciptaan Tam Spider. Selain itu ada juga perancangan untuk mengeluarkan album mini,” tuturnya

Bercerita tentang sambutan Aidilfitri, dia lebih mengutamakan persiapan untuk anak-anak. Pun begitu Intan tidak terlalu berhabis sebaliknya memilih kesedeharnaan.

“Biasanya saya lebihkan pada anak-anak. Kalau baju, saya dalam empat pasang saja.

Kata Intan, jika orang lain memilih untuk meneruskan tradisi pulang berhari raya di kampung halaman, berbeza dengan keluarganya yang meraikan di Kuala Lumpur.

“Setiap tahun saya memang beraya di Kuala Lumpur saja. Rumah ibu bapa mertua juga di sekitar Lembah Klang jadi memang tak balik ke kampung. Sambutannya tetap meriah dan seronok dapat berkumpul beramai-ramai,” katanya.

Menariknya, di malam raya Intan bersama keluarga di sebelah mertua mengamalkan tradisi bertakbir di setiap rumah saudara mara yang juga tinggal di sekitar Petaling aya dan Ara Damansara. Beritahu Intan, mereka akan mula berkonvoi sewal jam 9 malam sehinggalah ke lewat malam.

“Sejak kahwin, saya turut serta tradisi yang dilakukan keluarga mertua iaitu tradisi bertakbir dari rumah ke rumah saudara mara. Selepas solat Isyak, kami akan mula berkonvoi ke Petaling Jaya dan sekitar Ara Damansara. Mujur lah saudara-mara kami tinggal berdekatan,” katanya.

Intan sudah lapan tahun melayari bahtera rumah tangga dengan suaminya, Iskandar Ezzahuddin. Mereka dikurniakan tiga anak lelaki iaitu Megat Evan,8, Megat Israfel, 6, dan Megat Noah, 3.

loading...

Add Comment