Dennis Muhammad tenang dampingi Islam

loading…
Dennis Muhammad tenang dampingi Islam

BAKAL suami Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, Dennis Muhammad Abdullah mengakui jiwanya tenang apabila berpeluang mendekati Islam sejak tiga tahun lalu.
Dennis Muhammad Abdullah, 28, berkata, ketika pulang ke Amsterdam pada Julai 2014, beliau banyak mendapatkan pandangan serta nasihat rakan beragama Islam di situ berkaitan Islam.

Beliau turut meminta rakannya itu untuk membawanya ke masjid.
“Ia kerana saya mahu melihat serta mendengar sendiri bagaimana cara mereka bersembahyang di masjid selain mendapatkan nasihat daripada mereka berkaitan ajaran Islam yang turut
dipelajari dalam bahasa Belanda,” katanya.
Dennis Muhammad berkata demikian kepada pejabat media dan komunikasi rasmi Keluarga Diraja Johor, Royal Press Office (RPO) di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.
Anak kelahiran Belanda itu berkata, dia yang memeluk Islam pada 31 Mei 2015 di Pejabat Kadi Johor Bahru turut banyak membaca pelbagai bahan rujukan berkaitan Islam di Internet selain kerap ke masjid untuk solat.
“Selepas menerima restu Sultan Johor untuk berkahwin dengan Tunku Tun Aminah Maimunah, saya dititah untuk mempelajari agama Islam dengan lebih mendalam.
“Saya mula mengikuti kelas Fardhu Ain dan cuba menghafal surah-surah yang pendek dalam Al-Quran sejak awal tahun ini.
“Sebelum ini, saya sudahpun menjalani ibadah puasa secara penuh setiap bulan Ramadan sejak 2015 dan kerap ke masjid untuk menunaikan solat tarawih,” katanya.
Dennis Muhammad berkata, dia juga tertarik untuk mengenali dan mempelajari Jawi.
“Saya juga mendapat nasihat daripada golongan yang pakar dalam agama Islam supaya tidak tergesa-tergesa sebaliknya mendalami ilmu agama secara perlahan.
“Saya memahami nasihat berkenaan serta mengikutinya supaya diri ini benar-benar menjadi seorang Muslim yang baik dan tahu segala perkara termasuk bersembahyang,” katanya.
Dennis Muhammad berkata, hatinya terbuka untuk menerima Islam selepas berasa tenang apabila mendekatinya.
Menurutnya, dia bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat mengikuti pembelajaran agama dengan sempurna tanpa apa-apa halangan atau rintangan.
“Malah ibu bapa saya juga banyak memberi sokongan serta tidak menghalang saya memeluk Islam.
“Lebih penting, saya bersyukur kerana mendapat perkenan Tuanku Sultan Johor dan Permaisuri Johor,” katanya.
Dennis Muhammad bakal melangsungkan perkahwinan dengan Tunku Tun Aminah di Istana Bukit Serene pada 14 Ogos depan.
Perkahwinan berkenaan akan dilangsungkan penuh istiadat Melayu dan Budaya Istana Johor.
loading…
loading...

Add Comment