Sazzy idam naskhah ‘kuat’

Kali terakhir muncul di layar perak adalah menerusi telefilem Saloma pada 2014, ternyata lakonan Sazzy Falak ternyata dirindui ramai.

Persoalan bilakah dia mahu kembali mewarnai dunia lakonan sudah lali bermain di telinga pelakon berusia 36 tahun ini. Bahkan, ramai berteka-teki adakah dia sudah bersara dan hanya mahu fokus pada bidang pengacaraan.

Menurut Sazzy, kecintaan terhadap dunia lakonan tidak penah berkurang namun buat masa ini dia perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap peniagaan yang diusahakan.

“Saya tidak tahu bila akan buat kemunculan semula. Rindu memang rindu tetapi saya masih menunggu masa sesuai dan naskhah menarik untuk kembali ke set penggambaran.

“Jadual saya padat dengan agenda bisnes. Selain label fesyen SF, ada juga perniagaan lain yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Tegas Sazzy, jika mahu kembali aktif berlakon banyak aspek perlu dipertimbangkan dan tawaran itu perlu berbaloi dengan masa yang dikorbankan kelak.

“Saya idamkan sebuah naskhah yang kuat. Mesejnya perlu kukuh dan paling penting watak yang diberikan mesti sesuai dengan saya.

“Seperti dalam Gol dan Gincu, ia bukan sekadar sekumpulan wanita bermain futsal semata-mata tetapi turut ditekankan mesej kesedaran mengenai HIV, persahabatan dan macam-macam lagi.

“Tidak dinafikan pasukan produksi yang terbaik juga memainkan peranan penting,” katanya.

Mengimbas pembabitannya dalam bidang lakonan, bagi Sazzy ada beberapa karya yang memberikannya kepuasan termasuk telefilem Saloma. Naskhah sebegitulah yang akan membuatkannya teruja untuk kembali beraksi.

“Sewaktu Melissa Saila menawarkan saya watak Mak Nani, saya terus terima. Sehingga kini saya masih bangga menjadi sebahagian daripada telefilem ini,” katanya.

Sibuk menjelang Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2017

Ditemui pada acara Hari Amal Harlow’s & MGI baru-baru ini, Sazzy turut berkongsi pengalamannya mengacarakan program popular How Do I Look? Asia musim pertama.

Meskipun program itu ini menampilkan pengacara baru iaitu Jeannie Mai, dia bersyukur pengalaman itu membuka banyak pintu rezeki baru buat dirinya.

“Disebabkan program itu, saya berjaya meraih kepercayaan orang ramai mengenai kemahiran dan pengetahuan dalam bidang fesyen. Selain itu, tawaran mengacarakan acara berkaitan fesyen datang bersilih ganti.

“Saya bangga melihat Jeannie mengacarakan How Do I Look? dan berharap kami dapat bekerjasama satu hari nanti,” katanya.

Berkongsi projek seterusnya, Sazzy kini rancak menguruskan pertunjukan koleksi terbarunya di Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2017.

“Tinggal kurang sebulan dan pasukan saya sedang berhempas-pulas menyiapkan koleksi yang akan diperagakan pada 19 Ogos nanti.

“Koleksi kali ini sangat istimewa kerana memaparkan kekuatan wanita dan inspirasinya adalah pakaian perempuan pada 1940-an. Saya tidak sabar untuk berkongsi koleksi itu,” katanya.

loading...

Add Comment