Jangan Menangis bukan ciplak

LAGU Jangan Menangis nyanyian Aizat Amdan yang bertanding pada separuh akhir Muzik Muzik 32 Ahad lalu mengundang pertikaian peminat apabila ada mendakwa ia lagu ciplak nyanyian penyanyi dari China, Hua Chen Yu berjudul King & Beggar (2015).

Penerbit Eksekutif Muzik Muzik 32, Nurul Huda Khalid ketika dihubungi berkata, lagu ciptaan Aizat Amdan, Mike Chan dan Faizal Tahir itu layak bertanding kerana mereka pencipta asal lagu yang dinyanyikan penyanyi China itu.

“Lagu ini tak ada masalah dipertandingkan kerana mereka pencipta asal. Lagi pun lagu ini masih mengekalkan melodi sama cuma lirik saja diterjemahkan dalam Bahasa Malaysia. Paling penting, lagu ini bukan lagu saduran atau ciplak.

“Seperkara lagi, lagu ini tidak pernah dipertandingkan dalam Muzik Muzik. Jadi, tidak menjadi masalah untuk dicalonkan. Mereka sebagai pencipta ada hak ke atas lagu ini,” katanya kepada Harian Metro.

Huda berkata, pihaknya tidak mengetahui lagu itu dinyanyikan semula dalam versi Bahasa Malaysia sehingga dihubungi pihak media hari ini.

Menurut Huda, lagu itu juga tidak mempunyai masalah untuk dipertandingkan ke Anugerah Juara Lagu (AJL) sekiranya ia dipilih oleh pihak juri.

“Sekiranya lagu ini ke AJL sekali pun, ia bukan satu masalah. Sama seperti lagu Anak Kampung nyanyian One Nation Emcee dan Jimmy Palikat. Seperti semua maklum, versi asal lagu ini dalam Bahasa Kadazan.

“Jadi apabila ia disampaikan dalam versi Bahasa Malaysia, pihak penerbitan okey. Macam saya katakan tadi, selagi sesebuah lagu tidak pernah dipertandingkan dan ia masih lagu asli pencipta berkenaan, tak ada masalah,” katanya.

Sebelum diterbitkan menjadi single Jangan Menangis, lagu itu turut dirakam sebagai lagu kempen Ramadan TV3 2017 dengan tajuk Terima Kasih.

Terdahulu, video bertajuk Jangan Menangis (Aizat) Tiru Lagu China? tular di media sosial.Video yang memaparkan nyanyian Aizat dan Hua Chen Yu itu bagaimanapun mendapat maklum balas peminat yang terlebih dahulu mengetahui sejarah lagu itu.

loading...

Add Comment