JDT tekad bermati-matian

JUARA Piala AFC 2015, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan berjuang bermati-matian pada Piala AFC 2018 kerana saingan musim depan mungkin aksi terakhir pasukan berkenaan dalam kejohanan peringkat kedua di rantau Asia itu.

Penolong jurulatih JDT, Ismail Ibrahim berkata dengan Malaysia berkemungkinan besar mendapat slot automatik bersaing dalam kejohanan utama, Liga Juara-juara AFC (ACL) pada 2019, skuad Harimau Selatan mahu memastikan aksi  terakhir mereka pada Piala AFC 2018 adalah detik yang tidak dapat dilupakan.

Namun, Selangor akan menggantikan JDT sekiranya juara Piala Malaysia 2017 itu layak beraksi pada Liga Juara-juara AFC 2018, jika menewaskan pasukan dari Thailand, Muangthong United dalam perlawanan Pusingan Kedua, 23 Jan depan, serta pasukan tempat ketiga atau keempat Liga Jepun dalam aksi playoff kedua pada 30 Jan.

Pada undian Piala AFC 2018 berlangsung hari ini, JDT diundi dalam Kumpulan H (zon ASEAN) bersama-sama pasukan dari Indonesia, Persija Jakarta; Song Lam Nighe An FC (Vietnam) dan Tampines Rovers atau Geylang International dari Singapura, sambil Ismail menyedari pasukannya bakal berdepan cabaran sengit daripada kelab-kelab dari negara jiran itu.

“Kita tidak boleh ambil mudah saingan peringkat kumpulan ini kerana setiap pasukan mempunyai harapan tinggi untuk layak ke pusingan seterusnya dan kelab-kelab ini adalah pasukan baharu yang kita belum pernah bertemu sebelum ini, kecuali Tampines Rovers yang kita pernah menang.

“Tetapi dengan persiapan rapi dan barisan pemain baharu dibawa masuk, kita akan berjuang bermati-matian kerana pada 2019, kita mungkin beraksi di ACL. Kita perlu meneliti pasukan-pasukan ini, terutamanya Persija Jakarta dari segi permainan dan taktikal kerana mereka pasukan baharu yang kita tidak pernah bertemu,” katanya kepada pemberita selepas majlis undian berkenaan, hari ini.

JDT muncul pasukan pertama dari Malaysia memenangi Piala AFC, selepas merangkul kejuaraan tersebut menewaskan kelab dari Tajikistan, Istiklol FC 1-0 pada final 2015.

Pada saingan ACL pula, JDT diundi dalam Kumpulan E bersama-sama Jeonbuk Hyundai Motors dari Korea Selatan, Kitchee FC (Hong Kong) dan pemenang aksi playoff 4 zon Timur mewakili China, Australia, Myanmar atau Filipina.

Ismail berkata JDT akan berjuang habis-habisan untuk layak beraksi pada kejohanan utama itu buat pertama kali, selepas gagal melepasi perlawanan playoff dalam kesemua tiga kempen sebelum ini, sejak musim 2015.

“Muangthong United sebuah pasukan yang kuat. Pada  2016 kita kalah menerusi sepakan penalti. Tahun ini kita bertemu lagi, saya berharap kita lebih bersedia pada kali ini kerana mereka pasukan yang hebat dan beraksi pada pentas ACL 2017.

“Kita akan mulakan latihan 18 Dis ini, dan dalam masa terdekat akan melengkapkan pendaftaran pemain. Pemain import terakhir dijangka menyertai pasukan dalam tempoh terdekat untuk memulakan persiapan bagi playoff ACL,” katanya.

Pada musim 2016, JDT tumpas 0-3 dalam penentuan sepakan penalti kepada Muangthong United selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan pada pusingan awal, manakala pada 2017, juara empat kali Liga Super itu menewaskan Bangkok United 5-4 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam permainan sebenar, namun kalah 0-3 kepada kelab Jepun, Gamba Osaka dalam aksi playoff.

Undian Liga Juara-juara AFC 2018

Barat:

Kumpulan A: Al Jazira (UAE), Al Ahli Saudi FC (KSA), Tractorsazi Tabriz (IRN), pemenang playoff 3 zon Barat

Kumpulan B: Al Duhail SC (QAT), Al Wahda (UAE), PFC Lokomotiv (UZB), pemenang playoff 2 zon Barat

Kumpulan C: Persepolis FC (IRN), Al Sadd SC (QAT), Al Wasl (UAE), pemenang playoff 4 zon Barat

Kumpulan D: Al Hilal SFC (KSA), Esteghlal FC (IRN), Al Rayyan SC (QAT), pemenang playoff 1 zon Barat

Timur:

Kumpulan E: Jeonbuk Hyundai Motors FC (KOR), Kitchee SC (HKG), pemenang playoff 4 zon Timur, pemenang playoff 2 zon Timur

Kumpulan F: Kawasaki Frontale (JPN), Ulsan Hyundai FC (KOR), Melbourne Victory (AUS), pemenang playoff 3 zon Timur

Kumpulan G: Guangzhou Evergrande FC (CHN), kelab nombor dua Jepun, Jeju United FC (KOR), Buriram United (THA).

Kumpulan H: Sydney FC (AUS), Shanghai Shenhua FC (CHN), Kashima Antlers (JPN), pemenang playoff 1 zon Timur

Undian Piala AFC 2018

Barat:

Kumpulan A: Malkiya Club (BAH), Al Jazeera (JOR), Air Force Club (IRQ), pemenang playoff zon Barat

Kumpulan B: Al Ahed FC (LIB), Manama Club (BAH), Al Jaish (SYR), Al Zawraa Club (IRQ).

Kumpulan C: Al Faisaly/ Al Wehdat (JOR), Al Ansar FC (LIB), Dhofar Club (OMA), Al Wahda (SYR).

Tengah:

Kumpulan D: FC Istikol (TJK), kelab utama Turkmenistan, FC Alay (KGZ), pemenang playoff zon Tengah

Selatan:

Kumpulan E: Aizawl FC/Mohun Bagan (IND), New Radiant SC (MDV), kelab nombor satu Bangladesh, pemenang playoff zon Selatan

Timur:

Kumpulan I: 4.25 SC (PRK), Hang Yuen FC (TPE), Benfica Macau (MAC), pemenang playoff zon Timur

ASEAN:

Kumpulan F: Kelab nombor satu atau ketiga Filipina, Home United (SGP), Shan United/Yadanarbon (MYA), pemenang playoff ASEAN

Kumpulan G: Bali United/Madura United (INA), kelab nombor dua Filipina, FLC Thanh Moa/Hanoi FC (VIE), Yangon United (MYA).

Kumpulan H: Tampines Rovers/ Geylang International (SGP), Persija Jakarta (INA), JDT/Selangor (MAS), Song Lam Nighe An FC (VIE).

loading...

Add Comment