Syafiq Nazri fokus berlakon

BERMULA sebagai pengacara, kini, tumpuan Syafiq Nazri beralih sepenuhnya kepada dunia lakonan, sejak dua tahun lalu.

Katanya, berlakon adalah minat utamanya dan peluang itu datang selepas menghadiri uji bakat menerusi drama bersiri Dawai Asmara.

“Saya bermula sebagai pengacara Mbuzz di TV3. Tapi, sebenarnya saya lebih minat berlakon cuma peluang tak ada.

“Keadaan itu berubah selepas saya ke uji bakat dan kini semakin mendapat kepercayaan untuk mendapat watak lebih besar dan berat. Alhamdulillah,” katanya kepada Sinar Harian.

Dek minat, pelakon Duda Pujaan Dara ini mengakui bersedia menerima apa sahaja watak yang ditawarkan.

“Saya hanya tak akan terima watak yang memerlukan saya melafazkan cerai atau perlu menjadi ‘bengkok’.  Kalau ia susah sekalipun, itu adalah cabaran,” katanya.

Seiring dengan masa, peluang pelakon Hikayat Cinta Si Pematah Hati ini juga semakin terbuka luas apabila dipelawa berlakon filem The Millionaire arahan Sofia J Rhyland.

“Saya tak kisah berlakon drama atau filem. Bukan senang seseorang pelakon membintangi filem.

“Jadi, saya lihat kesempatan ini sebagai satu peluang yang rugi jika dilepaskan begitu sahaja,” katanya.

Filem itu memperlihatkan Syafiq bekerjasama dengan Harris Baba dan Raja Ilya dan sudah menjalani penggambaran semalam.

Syafiq mengakui tidak kisah namanya agak lewat dikenali dalam radar industri hiburan.

“Saya bermula dari bawah dan saya akui nama saya susah untuk naik.

“Tapi, itu semuanya bergantung pada rezeki. Saya lebih selesa bakat saya diketengahkan daripada popular hanya kerana kontroversi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syafiq juga sibuk dengan penggambaran drama 13 episid, I Dari Saigon untuk RTM dan akan muncul dalam program Chor & Chah musim kedua di saluran YouTube.

loading...

Add Comment