Caprice terus berjihad demi anak muda

BERGELAR penyanyi rap tidak sesekali menghalang Caprice untuk terus berjihad ke jalan ALLAH SWT.

Tanpa sedar, selebriti berusia 29 tahun ini aktif membabitkan diri melalui kempen Jihad Dalam Pendidikan, sejak lima tahun lalu.

Menerusi kempen tersebut, pelantun lagu Wat Lek Wat Peace ini membangunkan beberapa aplikasi berhubung pembelajaran agama Islam.

“Saya membuat kajian bagi mencipta aplikasi pembelajaran seperti Classruum.com;  Mengaji.com dan terbaru, Rajin.com.

“Malah, saya juga sering memenuhi jemputan untuk memberi ceramah di kolej dan sekolah, setiap minggu.

“Alhamdulillah, walaupun tanpa promosi aplikasi ini berjaya mendapat perhatian ramai,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengakui pernah dipandang sinis, pemilik nama sebenar Ariz Ramli ini kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang gemar menilai orang.

“Jujurnya, itulah masalah segelintir masyarakat kita. Suka menilai dan memberi pandangan tanpa mendekati dan menyelami hati nurani mereka.

Justeru, Caprice berharap kewujudan aplikasi ini dapat membantu mengubah pandangan masyarakat.

Pun begitu, Caprice enggan dilabel ikon Islam sebaliknya hanya mahu dikenali sebagai manusia biasa yang berjihad demi membantu anak muda dan seluruh umat Islam.

“Sebab itu, setiap tagline dalam aplikasi yang saya cipta berkisarkan perubahan hidup,” katanya.

Kolaborasi dengan UNIC
Beralih kepada kerjaya seninya, Caprice baru sahaja melancarkan kolaborasi pertamanya bersama kumpulan nasyid, UNIC melalui single, Sedar.

Katanya, kerjasama ini merupakan satu peluang terbaik untuk kembali memeriahkan industri muzik kerana UNIC adalah sebuah kumpulan nasyid terkenal.

“Ini masa terbaik untuk saya kembali aktif dalam industri selepas begitu lama tiada single baru,” katanya.

Lari daripada genre asal, Caprice bagaimanapun positif dengan penerimaan peminat.

“Saya sebenarnya berdebar juga tunggu reaksi peminat.

“Tapi, saya juga tertarik dengan konsepnya.  Ia bukanlah lagu nasyid semata-mata tetapi lebih bersifat universal.

“Bahkan, ia juga kena dengan apa yang saya lalui dalam hidup,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Caprice juga bakal muncul dengan single terbaru selain duet bersama Bunckface, tidak lama lagi.

loading...

Add Comment