Marsha hasrat hasil lagu rakyat Sabah

MAHU lebih dekat dengan penduduk kampung, Marsha Milan Londoh berhasrat menghasilkan lagu rakyat Sabah.

Katanya, perancangan itu dibuat hasil kerjasama dengan rakan baiknya yang juga penyanyi, Velvet Aduk.

Menurut Marsha, perancangan itu sudah lama, cuma kini dapat direalisasikannya.

“Insya-ALLAH, kita merancang melaksanakannya sebelum Ramadan nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Untuk itu, selebriti berusia 34 tahun ini juga bakal mendapatkan khidmat daripada beberapa komposer dan penulis lirik termasuk Rich Gimbang (Estranged).

“Kita juga akan mencipta beberapa lagu sendiri. 

“Asalnya, memang nak buat untuk sebuah album atau sekurang-kurangnya lima lagu. Tapi, kalau tak sempat, kita cuba dengan satu single dulu,” katanya.

Tambahan pula, bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) ini mengakui pasaran seni di Sabah juga cukup luas dan permintaan juga sangat tinggi.

“Kita lihat projek ini mampu memberikan kesan positif kepada masyarakat di Sabah,” katanya.

Pada masa sama, Marsha juga sibuk menjalani penggambaran dua travelog, Solo Yolo dan Ready Set Action selain drama bersiri, Bimbi Boni.

“Saya juga sedang menunggu filem Tujuh ditayangkan yang dijangka, awal tahun ini,” katanya.

Jadi duta barang kemas
Meluaskan lagi karier seni, Marsha juga baru sahaja dilantik sebagai duta barang kemas di bawah jenama De’Lunaria bagi tempoh tiga bulan akan datang.

Mengakui bukanlah seorang peminat barang kemas, pandangan bintang filem Jwanita ini bagaimanapun berubah seiring usianya.

“Jujurnya, saya baru tahu mengenai barang kemas. Jadi, pelantikan sebagai duta ini merupakan satu penghargaan buat diri saya walaupun dalam satu tempoh yang singkat.

“Apa yang penting, keterlibatan saya dalam mempromosikannya terutama di kalangan rakyat di Sabah mendekatkan lagi diri saya dengan orang kampung,” katanya.

Malah, Marsha yakin dengan cara pemasaran De’ Lunaria yang merupakan perintis kepada penjualan barangan kemas secara dalam talian.

“Saya percaya dan yakin dengan De’Lunaria selepas melihat sendiri barang kemas yang dijual dan semua barangannya adalah asli.

“Lagipun, semua harganya juga mampu milik dan sesuai untuk semua golongan,” katanya.

loading...

Add Comment