Paling penting bukan suami orang: Sherry Alhadad

PELAKON dan pengacara, Sherry Alhadad mengakui sedikit terkesan apabila melihat teman dan saudara-mara yang sudah mendirikan rumah tangga.

Ujar wanita berusia 34 tahun ini, jauh di sudut hatinya, dia juga teringin untuk mempunyai sebuah keluarga kecil sendiri, suatu hari nanti.

“Kalau pergi ke majlis perkahwinan kawan ke saudara mara ke, memang nampak saya happy, tapi sebenarnya saya teringin juga.

“Saya nak juga ada anak sendiri, nak tengok anak ikut perangai siapa, saya ke bapa dia. Saya nak juga ada yang meneruskan legasi keluarga,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun jelas pemilik nama Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, dia belum berjumpa dengan lelaki yang berjaya mengetuk pintu hatinya.

“Saya tak jumpa yang sesuai lagi. Makan sireh banyak dah (ketawa).

“Tak dinafikan, ada yang mendekati tapi itulah. Bukan nak memilih sangat, tapi bila nak dijadikan suami, perlulah yang serasi. Lagipun kita nak hidup dengan dia.

“Sebenarnya saya ni jenis yang simple dan kalau boleh saya nak lelaki yang simple, yang tak angkat diri, boleh hormat orang tua, tak berkira dan paling penting bukan suami orang,” katanya sambil ketawa.

Tambah Sherry, kali terakhir dia menjalinkan  hubungan cinta kira-kira lapan tahun yang lalu.

Bagaimanapun, kesukaran untuk membina kerjaya membuatkan dia meletakan soal cinta ke tepi.

“Sebelum ini, saya bersusah-payah nak masuk industri seni sehinggakan saya berusaha dan hanya fokus pada kehidupan sendiri sampai tak ada masa nak bercinta.

“Hidup kedua saya kalau bukan diri sendiri, saya dengan keluarga. Mungkin dah selesa macam itu dan tak harapkan lelaki,” ujarnya.

Dalam pada itu, pengacara program Drop The Beat ini tidak pernah berhenti berdoa untuk bertemu dengan lelaki yang bertanggungjawab.

“Saya tetap berdoa untuk berjumpa dengan lelaki yang elok serta bertanggungjawab. Memang ada pernah lelaki nak berkenalan tapi mesti tak menjadi.

“Tapi bila umur macam ini malas nak bercinta, kalau ada yang betul-betul ikhlas, masuk minang terus kan,” katanya.

Sementara itu, Sherry masih sibuk menjalani penggambaran untuk program temu bualnya, The Sherry Show & Friends untuk slot hari raya.

loading...

Add Comment