Tiada Istilah Melobi Diri, Bukan Cari Publisiti – Fahmi Fadzil

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menjelaskan sesi pertemuan bersama penggiat seni pada hari ini bukan bertujuan melobi dirinya sebagai calon menteri untuk mana-mana portfolio dalam kerajaan.

Sebagai seorang yang pernah aktif dan pernah berkecimpung dalam dunia seni hiburan tanah air, wakil rakyat berusia 37 tahun ini berkata, beliau tidak kisah jika tiada jawatan dalam Kementerian namun beliau optimis memperjuangkan nasib penggiat seni tempatan.

“Tidak ada isu melobi, saya pun bukan nak kejar populariti. Sama ada jadi ahli parlimen atau tidak, itu bukan keutamaan. Apa yang penting niat saya mahu membela nasib penggiat seni.

“Lagipun majlis ini bukan saya yang anjur tapi saya yang dijemput untuk hadir. Bagi saya alangkah baiknya kalau semua wakil rakyat berkumpul dalam pertemuan sebegini dengan penggiat seni.

“Hari ini bertujuan mendengar suara hati penggiat seni dan berkongsi idea untuk memajukan industri seni,” jelasnya.

Fahmi berkata demikian ketika ditemui pada majlis pertemuan ramah mesra bersama anak-anak seni anjuran Dapoq Che Jun, pada Rabu.

Majlis tersebut turut dihadiri kira-kira 100 penggiat seni antaranya Sharifah Amani, Datuk Farid Kamil, Safura, Deja Moss, Iedil Putera, Fauziah Nawi, Tam Suhaimi, Fatimah Abu Bakar, Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandes dan ramai lagi.

Dalam pada itu, Fahmi turut mencadangkan untuk mewujudkan Kongres Kesenian Kebangsaan yang sebelum ini pernah diusahakan pada tahun 70-an.

Selain itu beliau juga akan mengstruktur semula dan menguruskan dana kesenian yang sedia ada.

“Harapan saya mahu mewujudkan sebuah kongres bagi mengumpulkan anak-anak seni yang mana mereka bebas menyuarakan apa saja masalah dan idea serta cadangan demi kemajuan seni tanah air.

“Sebelum ini rama penggiat seni dan kenalan artis menyuarakan pendapat dan masalah mereka namun tidak mendapat perhatian daripada pihak menteri sebelumnya.

“Pihak saya juga akan mengkaji semula pengurusan dana kesenian yang sedia ada. Mungkin menteri terdahulu bukan datang dari latar belakang seni disebabkan itu mungkin beliau tidak memahami keadaan industri,” tuturnya.

Fahmi mula menceburkan diri dalam pementasan teater sejak tahun 2001 dengan mengarahkan sebuah teater bertajuk Lebih Kecoh yang dipentaskan di Actor Studio, Dataran Merdeka.

Disamping itu Fahmi juga pernah muncul menerusi drama bersiri Gol & Gincu yang ditayangkan pada tahun 2006.

Beliau yang mempunyai kelulusan dalam kejuruteraan kimia mula terjun ke dunia politik dan aktif berkempen untuk parti Pakatan Harapan di Lembah Pantai sejak tahun 1999 ketika parti itu masih dikenali dengan nama “Parti Keadilan Nasional”.

loading...

Add Comment