“20 Tahun Mental Didera, Hidup Macam Dalam Neraka” – Ziana Zain

Ketika rakyat Malaysia masih meraikan pembentukan kerajaan baru sekaligus isu politik negara masih menjadi bualan hangat, lain pula dengan dunia hiburan apabila dikejutkan dengan kes mahkamah diva popular Ziana Zain berkaitan konflik rumah tangganya.

Menerusi laporan Sinar Harian, Ziana, 50, mendedahkan kehidupannya dengan suami, Armin Zaharin selama 20 tahun ini ibarat hidup dalam neraka.

Malah sejak seawal empat bulan perkahwinan, dia sudah terpaksa menanggung penderaan mental bersendirian.

“Tiada siapa tahu kerana saya diajar ibu bapa agar tidak menceritakan hal rumahtangga,” katanya.

Menurutnya, setiap kali selesai bekerja, dia seolah- olah trauma untuk pulang ke rumah.

“Melihat pagar pun saya dah meraung. Kalau orang lain rumahku syurgaku, tetapi bagi saya dan anak- anak, rumahku nerakaku,” katanya.

Ziana juga mendakwa suaminya melemparkan kata-kata kurang sopan di mana sahaja termasuk di tempat awam dan di hadapan keluarga.

“Anak- anak sampai tidak mahu keluar makan bersama Armin kerana malu sekiranya diherdik,” katanya.

Bukan saja dia malah anak-anaknya turut menghidapi stress akibat daripada perilaku Armin. Sehinggakan salah seorang anaknya terpaksa mendapat rawatan dan dirujuk ke psikitri selepas menghidapi simptom kemurungan sejak berusia 14 tahun.

Mengakui kesabarannya sudah sampai ke tahap maksimum, justeru penyanyi yang popular dengan lagu Puncak Kasih itu tetap dengan pendiriannya mahu meneruskan proses perceraian dengan Armin walaupun lelaki itu menggunakan anak-anak sebagai alasan untuk melambatkan proses tersebut.

Kata kakak kepada Anuar Zain ini, dia tidak melihat sebarang jalan perdamaian di antara mereka dan merasakan perceraian adalah yang terbaik.

“Saya tetap dengan keputusan untuk bercerai walaupun dia gunakan anak-anak tetapi kita tengok macam mana nanti.

“Saya tetap dengan pendirian saya dan melihat ini (perceraian) adalah jalan terbaik,” katanya seperti yang dilaporkan mStar online.

Bagaimanapun semalam Mahkamah Rendah Syariah di sini memerintahkan sebuah Jawatankuasa Pendamai ditubuhkan bagi membolehkan pasangan itu berbincang mengenai kemelut rumah tangga mereka.

Hakim Syarie, Mohd Nizar Mokhtar membuat keputusan itu selepas Armin atau Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, meletakkan syarat untuk bertemu dengan anak-anaknya jika ingin bercerai.

Kes itu akan disebut semula pada 28 Jun depan.

Dalam pada itu, Ziana berkata, dia tidak akan menghalang Armin untuk bertemu dengan mereka namun selepas kes jenayahnya selesai.

Sebagai seorang ibu dia juga faham Armin turut mempunyai hak terhadap anak-anak mereka dan tidak akan menyekat atau memutuskan silaturahim di antara anak dan bapa.

Sehingga selesai kes mahkamah, kalau dia hendak jumpa anak saya akan benarkan sebab saya bukannya zalim, sebab saya faham itu pun anak dia,” katanya.

Pada 3 April lalu, Ziana menfailkan tuntutan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah selepas Armin enggan melafazkan cerai terhadap penyanyi tersebut.

Kemelut rumah tangga pasangan itu terbongkar apabila Armin didakwa kerana memukul salah seorang anaknya sehingga luka dan lebam dengan alasan untuk mengajar mengaji serta solat.

Laporan polis mengenainya dilakukan sendiri Ziana di Balai Polis Bukit Jelutong dekat sini pada 27 Februari lalu sebelum suaminya itu ditahan pada 2 Mac lalu.

Ziana dan Armin bernikah pada 9 Mei 1998 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

loading...

Add Comment