5 artis top BBNU kerjasama dengan MYDIN

BUAT julung kalinya artis naungan syarikat rakaman FMC, Haqiem Rusli, Tajul, Ernie Zakri, Sissy Imann, dan Wani bekerjasama dengan MYDIN untuk kempen hari raya tahun ini.

Barisan artis yang lebih dikenali dengan panggilan BBNU atau Budak-budak Baru Nak Up ini  akan menyanyikan lagu raya berjudul ‘Girang Syawal Tiba’ bagi menghangatkan suasana sambutan.

“Ini merupakan kali pertama saya dapat bekerjasama dengan pihak MYDIN, alhamdulillah rezeki untuk raya tahun ini dan juga buat rakan-rakan yang lain.

“Jadi harapan saya semoga kerjasama ini dapat berterusan namun kami fokus dulu untuk tahun ini dan lihat bagaimana reaksi daripada pendengar tentang lagu tersebut,” kata Ernie Zakri sekali gus mewakili rakan-rakannya yang lain.

Bukan hanya barisan penyanyi tetapi pelakon, Zoey Rahman juga terlibat sama dalam menjayakan projek FMC dan sekali gus menjadikan penyanyi dan pelakon ini wajah raya MYDIN.

Barisan artis ini juga berperanan untuk mempromosikan baju raya dan kad loyalti serta terlibat dengan pengagihan bubur lambuk di MYDIN USJ pada 26 Mei ini.

Selaku, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin, berkata ini merupakan salah satu cara untuk menampilkan kelainan sempena usia MYDIN yang ke 61 tahun.

“Ini merupakan kali pertama MYDIN menampilkan barisan artis dalam tempoh 61 tahun.

“Bila saya sendiri dengar lagu raya MYDIN, saya rasa teruja dan suka sebab liriknya penuh bermakna,” ujarnya di MYDIN MALL USJ1 Subang Jaya, sempena Majlis Pelancaran Girang Syawal Tiba.

Pada masa yang sama, Pegawai Perhubungan Awam FMC, Sam Samin, memberitahu mereka menyambut dengan lapang dada dan tidak berfikir panjang.

“Kami menyambut baik apabila pihak MYDIN menyuarakan pendapat dan keinginan melamar artis naungan untuk koleksi baju dan lagu raya.

“Ini kerana bagi kami, ia adalah satu cara nak untuk mempromosikan artis kami dan dalam masa sama turut memasarkan produk MYDIN juga. Jadi sudah tentu kami menerima kerjasama ini dengan hati terbuka,” katanya.

Selain itu juga, sepanjang bulan ramadan ini, para pelanggan MYDIN berpeluang menyertai aktiviti bersama artis tempatan seperti Faizal Tahir, Anis Nabila dan juga Amyra Rosli.

loading...

Add Comment