SAKSI DEDAH KERETA MASIH BERASAP KETIKA DIJUMPAI

Sharing is caring!

Seorang saksi yang menjumpai kereta terbakar di sebuah ladang kelapa sawit dekat sini berkata kenderaan tersebut masih lagi berasap ketika beliau menemuinya awal pagi Sabtu.

Penduduk kampung Nasrowi Maslah, 45, yang pada ketika itu dalam perjalanan untuk minum pagi bersama rakannya berkata beliau menjumpai kenderaan tersebut sekitar 7 pagi dan pantas mengambil dua keping gambar sebelum merujuknya kepada pihak berkuasa.

“Kereta itu masih berasap semasa saya jumpa dan saya ambil gambar takut tiada orang lain di sekitar kawasan tersebut, tapi memang ia hangus teruk semasa saya jumpa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Sungai Samak, di sini pada petang Ahad.

Sumber polis daripada IPD Hilir Perak berkata siasatan telah berjalan lebih 24 jam sejak kenderaan yang masih cuba dikenal pasti modelnya itu dijumpai awal pagi Sabtu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan penemuan kereta berkenaan.

“Kenderaan tersebut dijumpai orang awam sekitar jam 10 pagi tadi, yang kemudian menghubungi pihak polis,” jelas beliau.

Bagaimanapun pihaknya masih cuba mencari dan mengenal pasti jenis kereta dan nombor casis kenderaan untuk siasatan lanjut.

Beliau juga mengesahkan terdapat unsur jenayah dalam kes kereta rentung yang ditemukan di ladang sawit dekat sini.

“Nombor casis enjin telah dikikis malah membawa kereta itu di ladang sawit pun sudah ada unsur pelakuan jenayah,” kata Mohd Shuhaily

Mengulas mengenai kemungkinan kenderaan berkenaan milik bekas Timbalan Pengarah Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kevin Anthony Morais yang dilaporkan hilang sejak Jumaat, beliau berkata pihaknya perlu menjalankan siasatan lanjut.

“Akibat impak kebakaran, kenderaan tersebut rentung sepenuhnya, dan pihak forensik gagal mengenal pasti nombor casis, sehubungan itu pihak kami masih lagi cuba mencari kaedah lain untuk mengenal pasti kenderaan terbabit,” jelasnya.

Siasatan awal juga tidak menemui kesan lain dalam kenderaan itu.

“Tiada mayat ditemui, hanya kereta sahaja,” jelas Mohd Shuhaily.

Laporan polis berhubung kehilangan Morais dibuat ahli keluarganya pada petang Sabtu selepas dia gagal dihubungi.

Morais dari Jabatan Peguam Negara sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Pendakwaan di SPRM.

Difahamkan kali terakhir dia dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta untuk keluar bekerja pada pagi Jumaat lalu, menggunakan kenderaan rasmi kerajaan dengan nombor pendaftaran WA 6264 Q.

Leave a Comment