Tiada niat sembunyi pernikahan

Sharing is caring!

Ramai selebriti tanah air menamatkan zaman bujang mereka penghujung 2015 terma­suk pelakon dan pelawak, Syuk (SYJ), 27, yang selamat bernikah dengan gadis pilihan, Rossalennah Natassyiah Asshaferah Mohd Salleh atau Sera, 23, pada 20 Disember 2015.

Syuk atau Mohamad Shukri Mohamed Sahar berkata, dia tiada niat bernikah secara senyap dan menyembunyikan perkara itu.
Katanya, kerana bernikah dengan orang Sabah majlis dibuat secara sederhana di kampung pengantin perempuan, menyebabkan berita itu kurang diperkatakan.
“Kalau tiada aral, majlis persandingan sebelah saya di Pulau Pinang akan berlangsung sekitar Mac depan. Insya-Allah, saya akan mengundang peminat dan media.
“Buat masa sekarang, fokus saya pada persaingan Juara Parodi bersama Joey dan Sam Bunkface dalam kumpulan Abang Face.
“Disebabkan komitmen terhadap Juara Parodi juga, majlis pernikahan saya yang sepatutnya berlangsung pada 19 Disember, terpaksa bertukar tarikh keesokan hari.
“Apapun, saya bersyukur kerana perkara wajib iaitu nikah sudah dilaksanakan manakala majlis persandingan sebelah saya akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya.
Syuk dan Sera bertunang Februari tahun lalu selepas beberapa tahun berkenalan. Mengenai wang hantaran dan mas kahwin diterima isteri, Syuk enggan mendedahkannya biar menjadi rahsia mereka.
“Apa yang pasti, saya terpaut hati dengan Sera kerana sikapnya yang penyayang, matang, memahami dan boleh terima saya seadanya.
“Saya juga yakin Sera wanita yang akan selalu ada di sisi saya sama ada dalam keadaan susah mahupunsenang.
“Kalau dulu saya perlu menjaga diri sendiri dan makan seorang, sekarang kos sara hidup bertambah menjadi dua orang.
“Jika kami dikurniakan anak awal pula, kos bertambah lagi. Sekarang, saya perlu gigih mencari rezeki selagi ada peluang.
“Penat bekerja perkara biasa. Sebagai suami, memang menjadi tanggungjawab saya mencari rezeki untuk keluarga,” katanya yang belum memilih destinasi bulan madu.
Selepas Juara Parodi berbaki dua minggu lagi untuk ke final, Syuk juga sibuk dengan persaingan Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016) pula.
Katanya, dia tidak akan bersama kumpulan SYJ untuk persaingan MLM 2016 sebaliknya akan berganding dengan Joey dan Rahim (R2).
“Buat masa ini nama kumpulan baharu juga masih belum ada dan dalam proses mencari yang sesuai. Saya juga masih aktif berlakon dan akan muncul dalam drama Gondala Cinta Di Venice untuk RTM tidak lama lagi.
“Menariknya drama ini apabila saya mendapat peluang menjalani penggambaran di Itali. Inilah rezeki namanya. Walaupun saya berlakon watak pembantu sebagai penceria suasana dengan karakter komedi, tapi dapat juga peluang ke Itali untuk penggambaran.
“Ia peluang yang tak pernah saya duga. Kali pertama menjejak kaki ke Venice, saya sangat kagum dengan keindahan alam sekitarnya.
“Pemandangan indah dan pengalaman tak dapat dilupakan, kami berjalan secara berkumpulan sambil berpegangan tangan.
“Kalau di negara kita, saya gel hati melihat warga Indonesia atau Bangladesh yang jalan berpimpin tangan tetapi apabila berlaku pada diri sendiri di Itali, baru saya faham.
“Sebagai manusia biasa yang asing di negara orang untuk mencari rezeki, semestinya faktor keselamatan diutamakan,” katanya.
Waktu sama, Syuk juga menyimpan impian mahu melakonkan watak serius. Katanya, dia tidak memilih karakter tetapi jauh di sudut hati semoga ada peluang untuknya mencuba peranan baharu yang lebih mencabar.

Leave a Comment