Konsert Mega Gegar Vaganza Mendapat Sambutan Hangat!

Sharing is caring!

Sebelum ini, Konsert Gegar Vaganza musim kedua mendapat sambutan yang hangat dari penonton seluruh Malaysia malah bahangnya masih terasa. Bahkan tiket untuk konsert akhir habis dijual sekelip mata.

Namun, baru-baru ini dengan tajaan dari pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Dato Seri Vida telah mengadakan Konsert Mega Gegar Vaganza yang menampilkan semua artis yang pernah bertanding dalam musim pertama dan kedua.

Konsert itu telah diadakan selama tiga hari di Istana Budaya bermula Jumaat yang lalu. Malah, rata-rata penonton amat berpuas hati dengan persembahan dari bekas peserta Gegar Vaganza itu.

Konsert itu menampilkan Nabil Ahmad dan Jihan Muse selaku pengacara dan penampilan istimewa iaitu Dato Seri Vida pada permulaan konsert dijalankan. Malah, Nabil dan Jihan juga menyampaikan sebuah lagu yang bertajuk Goyang Bali sebagai pembuka tirai.

Artis pertama yang membuat persembahan adalah juara Gegar Vaganza musim kedua iaitu Siti Nordiana dan diikuti oleh Nizam Laksamana dengan mempersembahkan lagu Tiara.

Nyanyian Siti Nordiana atau lebih dikenali sebagai Nana mendapat sorakan penonton yang gamat dengan kekuatan vokalnya yang tersendiri dalam menyampaikan lagu yang bertajuk Cinta Hanya Sandaran.

Penonton terus dihiburkan dengan persembahan solo penyanyi Ezad Ladzim, Haiza, Farahdhia, Haleeda, Acong, Fazli Zainal, Amir Ukays, Ayai Ilusi dan Zul Handy Black dengan lagu Alasanmu, Segalanya Pasti, Bertakhta Di Hati, Pupus, Layu Di Hujung Mekar, Harapan, Zikir Kasih, Inang Bujang Dan Dara dan Ratuku.

Selain persembahan yang memukau dari mereka ini, penonton disajikan dengan lawak spontan dari pengacara yang berbakat ini, Nabil dan Jihan. Malah perwatakan Dato Seri Vida yang bersahaja melayan kerenah mereka berdua memeriahkan lagi konsert tersebut. Yang lebih istimewa, skuad pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors turut hadir pada malam konsert tersebut.

Konsert yang sangat meriah dengan persembahan yang memukau dari artis-artis yang hebat ini. Konsert Mega Gegar Vaganza adalah konsert yang terbaik diadakan setakat ini.

Leave a Comment