“SAYA DITOLAK KERANA MINTA GST DITURUNKAN 3%”

Sharing is caring!

JERLUN 21 Jan. – Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mendakwa penolakan ketua-ketua bahagian UMNO terhadap pentadbirannya di negeri ini bukanlah berpunca daripada empat perkara yang dibangkitkan dalam sidang akhbar diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah semalam.

Sebaliknya katanya, penolakan itu berpunca daripada kelantangan­nya berhubung beberapa isu melibatkan rakyat termasuk kos sara hidup serta pertimbangan supaya kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) diturunkan kepada tiga peratus.

“Kalau hendak jawab empat perkara yang mereka dakwa itu, saya fikir siapa pun boleh jawab. Perkara sebegini tak payah sebut pun kita boleh ‘baca’ yang tersirat kerana saya dilihat sedikit telus bercakap perkara yang dianggap cerminan suara rakyat.

“Apabila saya timbulkan perkara sebegitu, timbul rasa tidak puas hati sesetengah pihak kononnya tidak saya tidak sehati sejiwa dengan mereka. Jadi saya fikirlah, mungkin juga saya silap. Bukan disebabkan empat alasan itu yang membuatkan mereka menuntut agar saya berhenti menjadi Menteri Besar serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.” katanya ketika berucap di hadapan lebih 1,000 penyokongnya di Wisma UMNO Jerlun di sini hari ini

Yang hadir sama isterinya, Tok Puan Norzieta Zakaria; Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan, Datuk Aminuddin Omar serta Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Dr. Maznah Hamid.

Ahmad Bashah dalam sidang akhbarnya semalam mendakwa antara punca Mukhriz ditolak adalah kegagalan menyatu padukan kepemimpinan dan jentera parti selain ketiadaan perancangan strategik dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Mukhriz turut menasihatkan semua pihak agar menghentikan cakap-cakap ko­nonnya beliau akan melompat parti.

“Setiap yang saya lakukan tidaklah mempunyai niat selain daripada memperkuatkan parti supaya apabila berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti, kita menang bergaya. Di peringkat Dewan Undangan Ne­geri (DUN) kita hendak tambah kerusi dan di Parlimen pula, kita hendak ‘sapu’ semua.

“Sudah saya sebutkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini betapa saya tidak perlu di­suruh untuk turun jika rakyat tidak lagi menyokong saya. Tetapi jika rakyat masih memberi sokongan, tolonglah beri kerjasama supaya kita dapat kejayaan yang lebih besar yang bukannya untuk saya, tetapi untuk rakyat Kedah,” ujarnya.

Beliau turut menegur ketua-ke­tua bahagian terlibat kerana tidak menggunakan ruang berbincang sebagai medium untuk menyelesaikan masalah berbangkit.

“Tetapi saya mohon janganlah pula kerana ada hubungan baik dengan pucuk pimpinan nasional, mereka terus ‘ke atas’. Seolah-olah menidakkan pula hak saya selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri. Apabila berlaku, saya sebagai ketua seakan tiada peranan dan dilihat tidak berta­ring,” katanya. – Utusan Malaysia

Share this

Leave a Comment