Siti Saleha cuba nasib

Sharing is caring!

NAMA pelakon cantik ini memang sinonim dengan industri seni tempatan.

Memiliki bakat tersendiri, anak seni yang mula menjadi perhatian kerana drama bersiri Nora Elena ini memberitahu dia tidak mahu bakatnya sebagai pelakon hanya terhenti di layar skrin dan layar perak sahaja.

Sebaliknya dia sudah lama mengimpikan mencipta nama di pentas teater pula.

Kerana itu apabila dilamar CTRA Production untuk terlibat menerusi teater Zombie La La La, dia tidak menolaknya.

“Sebelum ini saya pernah berlakon teater Asrama Ra All Star, jadi pengalaman beraksi di pentas teater itu sudah ada. Tapi saya akui masih mentah dalam bidang ini,” kata Siti Saleha.

Ujarnya, dikenali sebagai pelakon teater dan diiktiraf bakat menerusinya adalah bukti seorang pelakon itu mempunyai kualiti berbanding pelakon lain.

“Jika mampu menjadi pelakon teater dengan baik dan mendapat pujian daripada penonton, itu sudah cukup membuktikan kemampuan kita.

“Ini kerana cabaran di pentas teater sangat berbeza daripada di layar skrin.

“Jika tersalah, kita pasti mencacatkan keseluruhan pementasan, bahkan kita akan berhadapan dengan audiens secara live,” katanya.

Berkongsi mengenai penglibatannya menerusi Zombie La La La, jelas Siti Saleha dia sangat teruja menjadi Cleo Papa.

“Ini satu kelainan lebih-lebih lagi ramai muka baharu menjayakannya bersama.

“Menjadi Cleo Papa pula, tidak sukar tetapi ia perlukan sesuatu magis supaya tampak hidup di mata penonton,” katanya.

Selain Siti Saleha, Zombie La La La arahan A.Aris Kadir turut menampilkan pelakon Amar Baharin (Kapten Cook), Amy Mastura (Happy Witch), Janna Nick (Me Mang Nak), Zulin Aziz (Miss K), Dato Rahim Razali (Patih Kurnia), Hafreez Adam (Elvi Pasola), Mei Fen (Lili Poh), Syed Atiq (Jin Aprait) dan ramai lagi.

Bakal dipentaskan pada 13 hingga 21 Februari ini, Zombie La La La turut mendapat kerjasama Rumah Karya Citra, Persatuan Teater Malaysia,  Istana Budaya serta Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia.

Leave a Comment