Siti terima anugerah Outstanding Singer Of The Year

Sharing is caring!

Dua dekad di arena seni, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, sudah meraih ratusan anugerah. Malam tadi, beliau menerima satu lagi pengiktirafan menerusi anugerah Outstanding Singer Of The Year pada acara McMilan Woods Global Award 2016 yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini. Anugerah berkenaan diadakan bagi menghargai individu yang meraih kejayaan dalam pelbagai bidang termasuk dunia perniagaan dan hiburan. Siti yang anggun dengan busana rekaan Rizman Ruzaini berkongsi berita gembira itu di laman Instagramnya. Turut hadir menemani dirinya pada acara itu ialah suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa. “Alhamdulillah, permulaan yang baik untuk 2016,” katanya di laman bergambar popular itu. Siti berkata, anugerah yang diterima itu terus menjadi pembakar semangat buat dirinya. “Biar diuji dengan dugaan kehilangan cahaya mata beberapa bulan lalu, Siti melihat ada hikmah tersendiri yang terus membuatkan Siti jadi kuat. “Dalam setiap duka, pasti ada suka yang bersilih ganti. Itulah kehidupan. Terima kasih kepada pihak McMilan Woods Global Award untuk anugerah ini,” tuturnya yang baru menyambut ulang tahun kelahiran 37 tahun pada 11 Januari lalu. Siti dalam perkembangan lain, akan terbabit dengan sebuah konsert anjuran yonder music selama dua malam berturut turut pada 5 dan 6 Mac depan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Leave a Comment