Lagu siapa muncul juara?

Sharing is caring!

Kehangatan Anugerah Juara Lagu 30 (AJL30) yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam jam 8.30 malam esok semakin dirasai dan menyaksikan persaingan sengit dengan pelbagai ramalan.
Dalam kalangan peminat, dapat dilihat pelbagai jangkaan dan antara lagu yang disebut-sebut menjadi juara ialah Assalamualaikum nyanyian Faizal Tahir, Sampai Mati (Hazama) dan Potret (Akim & The Majistret).
AJL30 turut menyaksikan beberapa finalis terdiri daripada pendatang baru Kaka Azraff yang mempertaruhkan lagu Bukan Hal Aku bersama Aliff, Caliph Buskers (Hanya Namamu), Biarkanlah (Drama Band) dan Elizabeth Tan (Knock Knock).
Kaka berkata, dia berasa kerdil apabila perlu bersaing dengan nama besar dalam AJL30, namun tidak menafikan peluang itu menjadi motivasi untuk dia bekerja lebih keras.
“Ini permulaan baik untuk tahun 2016. Diharap karier saya berjalan lancar dan terus berkembang selepas ini,” katanya.
Bagi penyanyi Caliph Buskers, Azmi, AJL tahun lalu banyak memberikan pengalaman buat kumpulannya apabila mewakili Mojo menyampaikan lagu Romancinta.
Tahun ini, Caliph Buskers sekali lagi akan muncul di pentas AJL dengan mempertaruhkan lagu sendiri iaitu Hanya Namamu.
“Semestinya kami gembira, tetapi pada masa yang sama kami juga gementar kerana tahun ini membawa nama sendiri ke pentas besar ini. Jadi, kami sendiri yang tentukan corak persembahan di samping menerima nasihat daripada KRU.
“Untuk persembahan, mungkin kami tampilkan susunan muzik berbeza dan memberikan lebih penekanan kepada permainan vokal,” katanya.
Ditanya mengenai saingan terdekat mereka, Azmi memilih lagu Assalamualaikum kerana mesej yang kuat dalam lagu itu.
“Hanya Namamu ialah lagu ketuhanan manakala Assalamualaikum pula menyampaikan mesej kedamaian secara meluas. Jadi, mesej dalam lagu itu bagi saya menjadi kekuatan dan persaingan terdekat kami,” katanya.
Penyanyi lagu Pergi yang pernah menyandang gelaran Juara Lagu di AJL24, Aizat turut meluahkan pendapat dan ramalannya untuk AJL30.
Aizat berkata, dia memilih empat lagu yang dirasanya kuat dan bersaing rapat iaitu Angin Kencang nyanyian Noh Salleh, Assalamualaikum, Not For Sale dan Bukan Hal Aku.
Menurutnya, setiap finalis tahun ini menampilkan muzik berbeza berbanding sebelum ini dan memiliki kekuatan masing-masing.
“Ramai juga muka baru kali ini. Apa pun, kejuaraan bergantung kepada juri,” katanya.
Bagi penyanyi dan komposer, Tam Spider yang pernah menyandang gelaran Juara Lagu di AJL19 menerusi lagu Relaku Pujuk, dia memberikan sokongan sepenuhnya kepada band-band.
“Sokongan saya 100 peratus kepada band yang menjadi finalis seperti Bunkface, Drama Band, Akim & The Majistret dan Caliph Buskers.
“Harapan saya semoga Juara AJL30 ini dipilih oleh juri berdasarkan cita rasa sebenar masyarakat dan penggemar muzik tanah air,” katanya.
Janji kelainan dalam persembahan selingan
Penerbit Eksekutif AJL30, Nurhul Huda Khalid berpendapat seni muzik adalah perkara subjektif dan kemenangan sesuatu lagu berdasarkan penjurian.
“Saya dapat lihat pelbagai ramalan daripada peminat dan penggiat muzik tanah air. Namun, ia perkara subjektif dan semuanya berdasarkan penjurian,” katanya.
Menurutnya, penjurian untuk AJL30 diadakan dua sesi iaitu pra penjurian sebelum acara kemuncak dan penjurian ketika AJL30 sedang berlangsung.
Ditanya mengenai persiapan untuk malam esok, Nurhul memaklumkan pihaknya sudah 90 peratus bersiap sedia.
“Sejak Khamis lagi, kami menjalankan sesi latihan dan ‘sound check’ untuk semua finalis dan persiapan pentas pula, hanya tinggal 10 peratus untuk disiapkan,” katanya.
Tambahnya lagi, bersempena 30 tahun anugerah berprestij ini berlangsung, ada beberapa persembahan selingan disajikan buat penonton.
“Kalau sebelum ini, hanya dua persembahan selingan dipersembahkan pada pembukaan dan akhir rancangan, untuk kali ini ada sedikit kelainan.
“AJL30 menggabungkan beberapa penyanyi yang pernah bergelar Juara Lagu dan mereka akan mempersembahkan medley lagu juara pada tiga segmen iaitu pembukaan, tengah dan juga sebelum keputusan diumumkan,” katanya.
AJL30 yang dihoskan AG HotFM dan Fara Fauzana disiarkan secara langsung di TV3 bermula jam 8.30 malam esok.

Leave a Comment