Freida tak rasa diri popular

Sharing is caring!

Filem Slumdog Millionaire membawa kejayaan besar buat pelakon kelahiran India, Freida Pinto, 31, hingga mengukir nama di Hollywood.
Bagaimanapun, Freida secara peribadi tidak berasa dirinya popular dan mempunyai nama besar di Amerika Syarikat.
Dia terkejut apabila dikaitkan dengan kontroversi ketika diundang menjadi tetamu bersama pelakon popular Bollywood, Priyanka Chopra dalam satu majlis di Washington, Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Dalam majlis itu, pengacara memperkenalkan namanya terlebih dahulu hingga membuatkan Priyanka kurang puas hati. Difahamkan, sebaik majlis tamat dia berjumpa wakil penganjur untuk meluahkan rasa tidak puas hatinya dan bertanyakan alasan mereka.
Menurut sumber, nama Freida disebut terlebih dulu kerana dia pelakon dikenali di Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, Freida enggan mengulas perkara itu. Katanya, dia tidak pernah menganggap dirinya popular dan melihat dirinya jauh jika dibandingkan dengan pelakon lain.
“Saya tidak tahu mengenai perkara itu sehinggalah terbaca satu artikel di Internet. Tapi saya tidak mahu komen apa-apa kerana saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan penganjur. Saya juga tidak bermasam muka dengan Priyanka.
“Saya hargai apabila mereka mengatakan nama saya cukup besar di AS tetapi secara peribadi, saya tidak melihat diri saya seperti itu. Kalau saya terkenal, tentu saya sudah berjaya seperti pelakon lain,” katanya.
Kata Freida, andai benar dia popular tentu mereka ingat filem lain lakonannya tetapi sehingga kini, mereka masih lagi mengaitkan dirinya dengan Slumdog Millionaire.
“Saya tidak boleh nafikan filem itu yang membuka jalan saya untuk berlakon di Hollywood. Tapi selepas itu, banyak juga filem saya bintangi tetapi tidak disebut-sebut sebagaimana Slumdog Millionaire,” katanya.
Freida akui bukan mudah untuk mencipta nama di Hollywood. Dua filem lakonannya selepas Slumdog Millionaire, You Will Meet A Tall Dark Stranger dan Miral gagal mendapat sambutan.
Malah pada 2011, empat filem lakonannya ditayangkan iaitu Rise Of The Planet Of The Apes, Trishna, Day Of The Falcon dan Immortals.
Sepi seketika, pada 2015 Freida kembali membintangi filem Knight of Cups, Unity, Blunt Force Trauma dan Oktober tahun lalu membintangi Jungle Book: Origins dan terbaru, membintangi filem pendek.
Katanya, sebagai pelakon dia harus mencuba perkara baru termasuklah membintangi filem pendek Black Knight Decoded yang dihasilkan untuk penyertaan peraduan Cabaran Pepsi.
“Apabila mencuba sesuatu yang baru, teknik lakonan saya turut berkembang. Pembabitan saya dalam filem itu nyata memberi ilmu yang cukup berharga. Tambah pula berganding dengan David Oyelowo selepas sama-sama berlakon dalam Rise Of The Planet Of The Apes.
“Saya gembira kerana sekali lagi berpeluang berganding dengannya. Malah sebab utama saya terima tawaran itu kerana mahu bekerja dan dikelilingi orang hebat agar dapat menimba ilmu daripada mereka.
“Apabila ditawarkan projek ini, saya bertanya barisan pelakon yang lain. Sebaik saja mereka sebut nama David, saya terus setuju. Bekerja dengan orang yang hebat dapat membantu kita untuk mengembangkan kerjaya,” katanya.
Kata Freida, banyak ilmu yang mereka kongsi dan dapat dijadikan panduan dalam lakonan. Malah Oyelowo banyak memberi nasihat mengenai kehidupan kepadanya.
“Ini pengalaman pertama saya berlakon filem pendek dan tidak menyangka naskhah seperti itu memberi perspektif baru dalam kerjaya saya.
“Pada awalnya saya anggap kerja itu mudah kerana hanya membabitkan penggambaran singkat kerana menganggap penggambaran filem perkara paling sukar disebabkan tempoh masa yang panjang serta memerlukan komitmen tinggi.
“Tapi ketika terbabit dalam Black Knight Decoded, barulah saya tahu sukarnya merealisasikan karakter itu dalam hanya beberapa minit. Saya agak kelam-kabut kerana ini kali pertama.
“Kalau filem untuk tayangan pawagam, saya ada dua jam untuk kembangkan karakter tetapi dalam filem pendek, saya harus bermula dengan klimaks. Tidak ada masa untuk bersantai. Kru penggambaran juga bekerja sangat pantas. Saya terkejut dengan cara mereka bekerja,” katanya.

Leave a Comment