‘Jangan samakan saya dengan artis lain’

Sharing is caring!

Pernah dikatakan memiliki aura Aaron Aziz, kini pelakon baru, Aidit Noh, 23, dikatakan memiliki wajah iras penyanyi Indonesia, Afgan kerana lesung pipit di pipinya.
Apabila diusik mengenai persamaan itu, dia cepat-cepat meminta agar mereka tidak disamakan. Katanya, dia tidak mahu isu itu lebih diperkatakan berbanding bakatnya.
Aidit atau Ahmad Aidit Noh lebih selesa umum mengenalinya kerana lakonannya kerana sebelum ni dia pernah dikatakan mempunyai aura lakonan Aaron.
Aidit akui awalnya sangat tertekan dengan pujian itu, namun menjadikan ia sebagai motivasi diri agar terus berusaha menjadi lebih baik.
“Setakat ini belum ada lagi yang mengatakan wajah saya seperti Afgan tetapi ada yang kata muka saya iras model dari Filipina.
“Apa pun, kalau boleh saya tidaklah mahu disamakan dengan mana-mana artis. Biarlah saya dikenali kerana bakat lakonan.
“Keadaan itu sebenarnya memberikan tekanan. Mereka pasti akan membandingkan bakat saya dan selebriti yang mereka maksudkan,” katanya.
Kata Aidit, ketika awal pembabitannya dalam lakonan dia agak tertekan apabila ada mengatakan dia mempunyai aura Aaron Aziz.
“Saya masih baru. Apabila dibandingkan dengan Aaron, saya malu kerana bagai langit dengan bumi. Namun, saya jadikan perkara itu sebagai pembakar semangat agar menjadi lebih baik dan berjaya sepertinya,” katanya.
Mula melangkah bidang seni tahun lalu, Aidit memasang impian bergelar pelakon sejak kecil. Bagaimanapun, ketika itu dia tidak tahu cara untuk menceburi bidang lakonan.
Melihat ramai model berjaya menjadikan peragaan sebagai batu loncatan, dia mencuba nasib dan pengalaman menjadi model turut membantu.
Katanya, sebagai model mereka harus bijak memainkan karakter serta emosi. Setiap pakaian itu mempunyai karakter dan konsep.
“Wajah kami harus emosi sesuai dengan pakaian. Ilmu itu sedikit sebanyak membantu saya ketika berlakon. Walaupun masih belum cukup tetapi bolehlah sebagai persiapan untuk menjalani penggambaran,” katanya.
Masih bergelar mahasiswa jurusan Kejuruteraan Pesawat di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Aidit memberi tempoh setahun untuk belajar menjadi pelakon yang baik.
Katanya, dia cuba membahagikan masa antara kuliah, lakonan dan peragaan.
“Perjalanan saya dalam bidang lakonan masih terlalu jauh untuk berada dalam zon selesa. Saya tidak ada asas sebagai pelakon tetapi cita-cita saya mahu bergelar pelakon. Sebab itu saya mencari ruang untuk cuba mencapai impian itu,” katanya.
Mahu dikenali sebagai pelakon yang boleh membawa pelbagai watak, Aidit tidak meletakkan sebarang karakter yang ingin dilakonkan. Paling penting baginya, ingin mencuba dan berjaya membawa apa saja watak diberikan.
Drama lakonanya, Sesal Separuh Nyawa kini disiarkan di HyppTV setiap Isnin dan Selasa sejak 18 Januari lalu. Ia turut dibintangi Ayda Jebat, Aiman Hakim Redza, Azhan Rani dan Nina Nadira.
Dalam drama 30 episod arahan Michael Ang itu, Aidit berpeluang menjalani penggambaran di Amsterdam. Ia mengisahkan Fara (Adya Jebat) dan Razlan (Aiman) saling menyintai tetapi melalui pelbagai suka dan duka. Fara mengesyaki kakak tiri Razlan, Melissa (Nina Nadira) cuba mengodanya.
Sementara itu, Fendi (Aidit) marah dengan Fara apabila lamaran cintanya ditolak lalu menyerang Melissa untuk membalas dendam. Fara kecewa dengan Razlan lalu memutuskan untuk berkahwin dengan Farid (Azhan Rani).
Kata Aidit, ada beberapa tawaran datang tetapi dia masih berfikir sama ada mahu menerima ataupun tidak. Katanya, dia masih belajar dan harus membahagikan masa antara lakonan dan pelajaran.
“Untuk kekal dan diingati, saya harus muncul di televisyen tetapi pada masa sama, cemerlang dalam pelajaran. Buat masa ini, saya mungkin akan terima lakonan yang tidak memerlukan saya menjalani penggambaran dalam tempoh yang panjang.
“Ada beberapa tawaran sedang fikirkan sekarang dan sedang melihat jadual kuliah,” katanya.
Walaupun masih baru, Aidit dihambat kontroversi apabila kini dikatakan ‘rapat’ dengan pelakon Dynas Mokhtar. Sudah bersedia dengan situasi itu, Aidit hanya ketawa apabila dimaklumkan khabar angin itu.
“Isu itu sebenarnya tidak ada apa-apa pun. Saya hanya ketawa kerana tidak benar sama sekali. Saya sudah sedia maklum, anak seni akan berhadapan dengan keadaan seperti itu.
“Saya tidaklah terkejut apabila keluar cerita itu kerana lumrah anak seni memang begitu,” katanya yang pernah berlakon dalam Cinta Nasi Ambeng dan Jodoh Sebelah Pintu.

Leave a Comment