Projek Pistol nyanyi di stesen LRT lancar album baharu

Sharing is caring!

 Dalam era hipster ini, bermacam cara dilakukan untuk mencipta kelainan apatah lagi jika membabitkan produk baharu.

Band yang memperjuangkan muzik rock moden, Projek Pistol misalnya mengajak peminat menyaksikan gig mereka di lima stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur sempena pelancaran album kedua yang berjudul, Revolution, Selasa ini.

Mengikut perancangan, band yang popular dengan lagu Wanita Seluruh Dunia itu akan membuat persembahan pertama di Stesen LRT Kelana Jaya pada jam 2.30 petang. Ini diikuti stesen KL Sentral, Pasar Seni dan Masjid Jamek dan lokasi terakhir di Stesen KLCC.

Band itu akan membuat persembahan di AK Buskers Concourse Floor di Avenue K, kira-kira jam 4.30 petang.

Khabarnya, Projek Pistol akan mempersembahkan sebuah lagu di setiap stesen manakala di stesen terakhir, peminat akan dihiburkan dengan lima lagu.

Peminat pasti tidak melepaskan peluang melihat kemunculan band itu di Avenue K berikutan penganjur menyediakan hadiah istimewa kepada 100 peminat terawal yang tiba di lokasi itu.

Selepas hampir lima tahun tidak menghasilkan album, pastinya band itu mahu mendekati peminat dalam suasana yang lebih mesra, santai dan penuh intimasi. Projek Pistol juga berkongsi mesej menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam melalui persembahan percuma di stesen LRT.

Projek Pistol dalam kenyataannya menyebut, album kedua mereka diterbitkan Edrie Hashim

Menyajikan 10 lagu baharu, tiga dendangan dalam album terbabit adalah lagu bahasa Inggeris iaitu White Lady, Hey Now, dan Where the Roads Go (Take My Hand).

Antara lagu yang dijangka hit adalah Aku Tahu, Demi Masa dan White Lady. Untuk album kedua ini, Projek Pistol mahu dikenali sebagai nama PP.

PP dianggotai Boy yang bertindak sebagai vokalis; Edrie Hashim (gitar), Pae (drum), dan Fly (pemain bass).

Leave a Comment