Dedikasi buat Pak Yus

Sharing is caring!

Pertandingan akhir Juara Parodi yang berlangsung Jumaat lalu di Teater Shah Alam menepati jangkaan apabila mengangkat kumpulan Kobis Pedas sebagai juara program realiti komedi muzik itu.
Dengan kemenangan penuh emosi itu, Kobis Pedas yang dianggotai Tauke dan Misha Omar membawa pulang wang tunai RM300,000 dan trofi.
“Alhamdulillah. Saya dan Misha dedikasikan kemenangan ini untuk sahabat kami, Allahyarham Pak Yus. Insya-Allah, dengan wang kemenangan ini, kami akan teruskan kerja amal Pak Yus dan bahagiannya akan kami sumbangkan kepada badan kebajikan,” kata Tauke.
Bagi Misha pula, kenangan bersama Allahyarham membuatkannya mengalirkan air mata ketika nama mereka diumumkan sebagai juara.
“Saya terkenangkan Pak Yus. Sejak semalam, air mata ini asyik tumpah. Dalam ketiga-tiga kami, Pak Yus anggota yang paling menyerlah. Persembahan pada malam ini, kami buat yang terbaik untuknya kerana walaupun dia sudah tidak lagi bersama kami, semangatnya sentiasa ada,” katanya.
Ditanya mengenai latihan untuk menjayakan pentas akhir Juara Parodi, Kobis Pedas mengakui mereka sudah memberikan yang terbaik.
“Kami tidak ada latihan khusus, cuma kami curahkan sepenuh tenaga kami untuk persembahan pada malam ini (Jumaat)bagi memparodikan dua lagu tugasan, Siapa Diriku dan Patah Seribu.
“Selain perbincangan bersama, kami juga ada membuat rujukan contohnya menonton YouTube, cara tarian shuffle,” kata Misha.
Tambah pelantun lagu Bunga Bunga Cinta itu lagi, menyampaikan lagu berbentuk parodi bukan semudah yang dilihat.
“Susah untuk menghasil dan menyampaikan lagu parodi. Mesejnya perlu jelas dan difahami serta mengambil masa agak lama. Kami ada juga meminta tip daripada juri dan rakan lain.
“Apabila menyertai program ini dan merasai sendiri pengalaman membuat lirik komedi, baru saya tahu cabarannya. Sebelum ini, ada beberapa rakan artis yang takut untuk menyertai program ini, tetapi saya sahut juga cabaran menjadi peserta,” katanya.
Ditanya mengenai elemen meraih simpati yang diselit dalam persembahan mereka, Tauke tidak menafikan perkara itu dan menyerahkan kepada penonton untuk memberikan pandangan.
“Ia bukan untuk meraih simpati bagi mendapatkan undi, sebaliknya untuk Pak Yus. Terserah kepada penonton sama ada mahu rasa simpati atau tidak,” katanya.
Tauke juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat dan rakan yang memberikan soko­ngan kepada Kobis Pedas.
“Saya ucapkan terima kasih kepada peminat dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan ikhlas kepada kami. Sebelum ini, ketika bersama Pak Yus, kami tidak pernah mengecapi kemenangan sebegini. Jadi apabila dinobatkan sebagai juara, dia tidak bersama kami lagi,” katanya.
Pengurus Saluran Astro Warna, Emarina Kamal memaklumkan program ini berkemungkinan besar diteruskan untuk musim kedua.
“Kami akan menilai secara keseluruhan dan Insya-Allah, kami akan maklumkan sekiranya ada Juara Parodi musim kedua,” katanya.
Selepas 12 minggu bersaing dengan 10 kumpulan peserta, Kobis Pedas menewaskan empat finalis lain, Abang Face, Juri, Righthanded dan Selamba Blur dengan kutipan mata terkumpul 62.96 peratus.
Kumpulan Abang Face yang dianggotai Sam Bunkface, Joey dan Shuk pula diangkat sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi.
Kategori Vokal Terbaik dan Lirik Terbaik pula masing-masing dimenangi kumpulan Juri dan Abang Face apabila masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 berserta trofi.
Kumpulan Kobis Pedas juga turut membawa pulang wang tunai RM25,000 berserta trofi menerusi Anugerah Pilihan Penonton.
Selain itu, semua finalis juga turut menerima wang tunai RM20,000 berserta trofi sebagai hadiah sampingan.
Pentas akhir Juara Parodi menampilkan Najip Ali dan Dina Nadzir selaku pengacara dan dimeriahkan dengan persembahan pembukaan dari Siti Nordiana dan Lan Kristal menerusi lagu Paling Comel.
Program itu turut menampilkan Afdlin Shauki dan Datuk Zainal Abidin sebagai juri tetap manakala Datuk AC Mizal sebagai juri jemputan.
Juara Parodi yang berkonsepkan realiti komedi muzik menampilkan gabungan penyanyi popular dan pelawak dalam satu kumpulan dan memerlukan para peserta menukar lirik lagu kepada komedi mengikut genre yang ditetapkan.

Leave a Comment