Faizal tidak ralat muncul naib juara AJL30

Sharing is caring!

Biarpun diramal mampu menjulang trofi juara, Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30), Faizal Tahir selaku pencipta bersama merangkap penyanyi Assalamualaikum tidak ralat sebaliknya melihat kedudukan pemenang kedua sebagai pembakar semangat menghasilkan karya lebih bagus. Baginya yang bekerjasama dengan Mike Chan, Ezra Kong dan Audi Mok, mesej Assalamualaikum yang difahami serta sampai terus kepada khalayak pendengar sudah dianggap sebagai kemenangan peribadi. “Dengan penuh hormat saya melihat mereka yang beraksi di pentas AJL30 ini sudah membuktikan keupayaan masing-masing. Jika ada yang kata Assalamualaikum boleh jadi juara, ia tentu peminat saya. “Setiap lagu ada penyokong sendiri, namun semuanya berbalik kepada penjurian. Kita harus menghormati setiap keputusan. Saya tiada masalah Assalamualaikum tidak menang kerana sudah menyalurkan mesejnya sehabis baik. “Pada usia dan posisi sekarang, saya sentiasa berharap setiap karya saya mampu meninggalkan kesan terhadap insan lain. Sejujurnya, hanya terima kasih yang mampu saya berikan,” katanya selepas sidang media. Menurutnya, selepas sedekad berkecimpung dalam arena seni, banyak peluang yang diberikan kepadanya, yang membolehkan beliau menyalurkan mesej terbaik serta positif kepada masyarakat. Faizal sebelum ini pernah merangkul trofi AJL menerusi Syurga (Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik dan Juara Kategori Balada AJL23), Bencinta (tempat ketiga AJL24), Hanyut (Persembahan Terbaik AJL25) dan Karma (tempat ketiga AJL26). Di pentas sama, Assalamualaikum turut bersaing dengan sebuah lagi karya ciptaan penyanyi berusia 37 tahun itu, Knock Knock, yang disampaikan Elizabeth Tan.

Leave a Comment