Kelulusan bukan syarat utama jadi MB Kedah

Sharing is caring!

 Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, semua Adun di negeri itu layak dan boleh dipertimbangkan untuk dilantik menjadi Menteri Besar Kedah.

Tajul Urus berkata, walaupun beliau mengakui pendidikan itu penting, namun prestasi seseorang wakil rakyat itu tidak wajar diketepikan hanya semata-mata kerana tidak mempunyai kelulusan yang tinggi.

“Yang PhD (Doktor Falsafah) pun tak tentu boleh melaksanakan (tugas) dengan baik. Orang politk yang sudah melalui banyak pengalaman, yang sudah melalui naik turun mungkin paling baik.

“Kesetian kepada parti dan pucuk pimpinan ada faktor utama,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau mengulas laporan media perdana hari ini mengenai perkembangan terkini kemelut politik Kedah apabila menyenaraikan tiga nama Exco Kedah yang disebut-sebut sebagai calon paling layak untuk menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah baharu.

Tiga nama tersebut ialah Exco Jawatankuasa Industi dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail; Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya, Datuk Mohd. Rawi Abdul Hamid dan Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan Kerajaan Tempatan, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Mereka masing-masing Ku Rahman, Adun Guar Chempedak, Adun Ayer Hangat (Mohd Rawi) dan Adun Tanjong Dawai (Tajul Urus) itu dikatakan paling layak dipertimbangkan berdasarkan kepada pengalaman serta  latar belakang pendidikan, sekaligus dapat meredakan kemarahan rakyat Kedah.

Ketiga-tiga calon tersebut layak disenaraikan sekiranya Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berhadapan dengan ‘halangan’ untuk menggantikan Mukhriz.

Menurut laporan media perdana itu juga, Ku Rahman mempunyai ijazah kedoktoran dari sebuah universiti di luar negara dikatakan layak memandangkan pengalamannya sebagai ‘orang lama’ dalam politik di Kedah.

Tajul Urus pula dilihat mampu meredakan kemarahan penyokong Mukhriz memandangkan beliau yang berkelulusan dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang dilihat mampu meneruskan agenda Mukhriz untuk memajukan bidang pendidikan di Kedah.

Manakala Mohd. Rawi yang merupakan anak jati Langkawi pula, dianggap pemimpin paling dekat dengan rakyat Kedah khususnya dalam kalangan ulama dan pelajar institusi pondok susulan beliau berkelulusan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Bagaimanapun ketiga-tiga nama itu masih di peringkat pertimbangan dan segalanya terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan.

Leave a Comment