Warnai industri muzik Indonesia

Sharing is caring!

Nama penyanyi, Nadira Adnan mungkin masih samar dalam industri muzik tanah air.
Kini, penyanyi ini mewarnai industri muzik Indonesia sebagai penyanyi R&B dan muncul dengan single sulungnya menampilkan Al Ghazali (Al), Cinta Datang Dan Pergi.
“Cinta Datang Dan Pergi adalah single pertama saya. Pada awalnya pencipta lagu ini, Ahmad Dhani memilih saya dan anaknya, Al untuk menyampaikan semula lagu ini dan kami bersetuju,” katanya.
Tambah Nadira atau nama sebenarnya Tengku Nadira Tengku Adnan, perjalanannya tidak semudah yang disangka kerana pasaran untuk muzik R&B masih kurang di Indonesia.
“Di sana pasaran muziknya luas. Jadi, banyak juga persaingan dengan genre lain dan saya ingin buktikan kebolehan saya sebagai penyanyi R&B. Walaupun fokus saya lebih kepada muzik R&B, namun saya cuba juga untuk mempelbagaikan genre dalam album sulung yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.
Kata penyanyi berusia 19 tahun ini lagi, album sulungnya menggabungkan beberapa genre muzik antaranya Pop, Dance dan tentunya R&B.
Di kecam peminat Al
Disebabkan berkawan rapat dengan Al, Nadira mengakui dirinya dikecam peminat penyanyi itu.
“Ada yang menghentam saya dengan pelbagai kritikan. Namun, sejak awal saya sudah bersedia kerana saya tahu bagaimana fanatiknya peminat Al,” katanya.
Pihak pengurusannya juga sering berpesan supaya tidak terlalu memandang kepada komen negatif peminat.
“Saya ambil setiap komen itu dari sudut positif. Tipu kalau saya kata tidak terasa hati, tetapi saya jadikannya sebagai motivasi untuk memperbaiki diri. Antara komen yang dilemparkan imej saya yang dikatakan kelihatan tua dan tidak kena dengan usia. Saya jadikan itu untuk pertingkatkan lagi penampilan diri,” katanya.
Penyanyi yang menuntut di Universiti Kristen Krida Wacana, Jakarta dalam bidang perubatan ini juga menafikan dirinya menggunakan nama Al bagi meraih populariti dalam industri.
“Itu tidak benar. Al mengenali saya dan dia tahu saya ikhlas berkawan dengannya dan bukan untuk meraih populariti semata-mata,” katanya.
Tambah Nadira, dia ingin dikenali menerusi kualiti bakat dan karya seninya. Mungkin masih ada yang tidak tahu Nadira anak kepada Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor dan pelakon dari Indonesia, Enny Beatrice.
Namun begitu, Nadira menegaskan dia ingin berdikari dan dikenali atas namanya sendiri.
“Saya tidak mahu dikenali dengan pengaruh daripada kedua-dua ibu bapa saya. Biar saya berdikari dan berusaha untuk menaikkan nama saya sendiri,” katanya.

Leave a Comment