Alyah kini diulit bahagia

Sharing is caring!

Tidak ada yang lebih menggembirakan penyanyi, Datin Alyah apabila pengorbanan dan kesabarannya berumah tangga dengan pengarah muzik ternama, Datuk Ramli MS akhirnya berbaloi.

Menurut penyanyi lagu Kisah Hati itu, perubahan sikap suaminya dianggap hadiah paling istimewa sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-35 pada 3 Januari lalu.
“Syukur apabila Allah SWT membalas segala pe­ngorbanan saya dengan kebaikan dan nikmat yang tidak terkira. Alhamdulillah, perubahan positif dalam diri suami itu sudah cukup meng­gembirakan saya.
Apa yang ditunjukkan sekarang memang jauh berbeza daripada dulu. Dia jadi lebih lemah lembut, me­ngambil berat dan penya­nyang. Pendek kata, saya berasakan dia ada dalam hidup ini berbanding sebelumnya,” katanya.
Alyah atau nama sebenarnya Nor Hasliah Abu Hassan mengakui dia mula merasai nikmat bahagia alam perkahwinan.
“Sebelum ini saya sudah melalui ujian besar dalam hidup dan rumah tangga. Sekarang saya diberikan nikmat yang menjadi impian setiap wanita yang berkahwin. Paling penting sekarang saya yakin suami boleh bersama saya setiap masa. Sibuk macam mana pun, dia pasti bertanya keadaan saya,” katanya.
Menurut Alyah, setiap yang berlaku sebelum ini memberi pengajaran berharga untuknya.
“Apa yang berlaku membuatkan saya dan suami saling memahami. Saya tak menyesal dengan tindakan sendiri kerana sekurang-kurangnya saya belajar sesuatu daripada perkara itu.
“Dalam rumah tangga, setiap masalah yang berlaku bukanlah penamat kepada perhubungan dibina. Mung­kin ia adalah ujian dan dugaan daripada Allah SWT yang mahu melihat sejauh mana kita boleh terima atau tidak,” katanya.
Perkenal artis sendiri
Meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya itu, Alyah dengan bangga memperkenalkan penyanyi, Soul Hilmy dan Mya Herry yang juga artis di bawah nau­ngan syarikat miliknya, Like Music Sdn Bhd pada majlis Sepetang Bersama Alyah di Redbox Plus, Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Berbekalkan pengalaman selama 16 tahun sebagai penyanyi, sudah tiba masa saya berkongsi ilmu yang ada dengan penyanyi baru. Mereka berbakat, cuma tiada peluang. Tugas saya sekarang memberi mereka jalan supaya dapat mengetengahkan bakat dimiliki. Sudah pasti saya mengharapkan mereka dapat diterima peminat,” katanya.
Sebagai permulaan, Alyah mempertaruhkan Soul Hilmy menerusi single Mahu Tapi Malu duet dengan Benladen. Selain itu, Alyah turut melancarkan kelab peminat diberi nama Alyah4Ever.
“Sepanjang terbabit dalam bidang nyanyian, baru kali ini saya mempunyai kelab peminat secara rasmi. Sebelum­nya, mereka sekadar memberi sokongan pada setiap acara membabitkan saya,” katanya.
Menerusi kelab peminat itu, Alyah sudah merancang pelbagai aktiviti menarik sepanjang tahun ini. Dalam perkemba­ngan lain, Alyah bakal tampil dengan album baru menjelang April ini.
“Buat masa sekarang, satu lagi lagu belum dirakam iaitu Sedetik Waktu. Bukan apa, susunan lagu ini daripada suami, jadi saya perlu menunggu kelapangan waktunya.
“Tetapi saya sudah memaklumkannya yang lagu ini perlu disiapkan dalam tempoh sebulan dari sekarang,” katanya.

Leave a Comment